BEBERAPA keping gambar memaparkan imej seorang kanak-kanak membonceng motosikal dalam keadaan berdiri ketika bapanya sedang menunggang motosikal kini tular di laman sosial.
Aksi berbahaya kanak-kanak yang berpakaian baju tadika itu sekali gus mengundang kritikan netizen terhadap si bapa.
Menerusi gambar tersebut, kanak-kanak dalam lingkungan usia lima tahun itu dilihat berdiri sambil memegang bahu bapanya. Manakala, si bapa pula dilihat menunggang motosikal menggunakan tangan kanan manakala tangan kirinya menahan anaknya dari arah belakang.
Sementara, seorang lagi kanak-kanak duduk di bahagian bakul hadapan.
Tidak diketahui, bila dan di mana gambar ini diambil tetapi dipercayai si bapa sedang dalam perjalanan menghantar anak-anaknya ke sekolah tadika.
Rata-rata netizen menyelar tindakan si bapa dengan menyifatkan lelaki itu tidak menghiraukan keselamatan anaknya sendiri.
“Astaghfirullahal’azim… Napela dibiarkan anak buat macam tu.. Ermmm…,” tulis Nursyafiqah.
“Makin lama makin bodoh orang zaman sekarang ni.. Sedangkan dah banyak tauladan berlaku kt malaysia ni.. Tapi tak nak ambik iktibar,” tulis Wazir Bro JB.
“Ni namanya bapa kurang cerdik.. dah terjadi apa-apa nanti baru lah menangis tak berlagu,” tulis Rozana.
Sementara itu, ada juga netizen yang mempertahankan si bapa dengan menyifatkan anak lelaki itu barangkali terlalu degil hinggakan enggan duduk ketika membonceng motosikal.
“Janganla sesuka hati panggil ayah dia bodoh… kita tak tau perkara sebenar… kita takde kat tempat dia… ermmm… bapak dia tengah sabar tu nanti dah sampai tempat yang dituju memang kena la budak tu,” tulis Nora.
“Kenapa tak ambil video baru tahu keadaan sebenarnya,sebab kadang-kadang anak ni ada yang degil sampai besar urat leher kita tegur, urat leher dia lagi besar. Mungkin orag tua dia dah tegur tu, siap pegang lagi tu, takut anak dia jatuh. Berfikirlah secara positif,” tulis Rayzy.
Bagaimanapun, kes-kes kemalangan jalan raya akibat kecuaian seperti ini sememangnya acap kali berlaku. Oleh itu, setiap ibu bapa perlulah lebih bertegas dengan anak masing-masing agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini di kemudian. Mencegah itu lebih baik dari merawat. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments