SEPANG: Dua wanita warga asing ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Nam.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat. Perintah reman ke atas suspek dikeluarkan Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalib di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, pagi ini.
Seorang daripada suspek yang menggunakan dokumen perjalanan Vietnam dengan nama Doan Thi Huong berusia 29 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, kira-kira jam 8.20 pagi semalam.
Seorang lagi suspek yang menggunakan dokumen perjalanan Indonesia dengan nama Siti Aishah dan berusia 25 tahun ditahan pada jam 2 pagi tadi.
Jong-Nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un dipercayai dibunuh menggunakan racun ketika menunggu penerbangan ke Macau di aras pelepasan klia2, pagi Isnin lalu.
Dia yang menggunakan dokumen perjalanan Korea Utara dengan nama Kim Chol, dipercayai diserang seorang wanita yang menyerkup mukanya dengan kain yang dipercayai dibasahi dengan cecair beracun, kira-kira jam 8 pagi ketika duduk sementara menunggu penerbangan terbabit. - BH Online
No comments:
Write comments