Thursday, 16 February 2017

Tambang lebih murah dengan GrabShare


PETALING JAYA: Selepas kejayaan dalam perkhidmatan e-hailing, Grab hari ini memperkenalkan perkhidmatan terbarunya, GrabShare (perkongsian kenderaan) yang memberi pelanggan tambang lebih murah.

Menerusi GrabShare, permintaan pelanggan boleh dipenuhi dengan lebih efisyen sementara kenderaan sedia ada (Grab) memainkan peranan mengurangkan kesesakan lalulintas.

Melalui perkhidmatan terbaru ini, pemandu juga mendapat pulangan lebih dengan melengkapkan 2 tempahan dalam satu perjalanan.

Ketua Grab Malaysia Sean Goh berkata, tujuan perkhidmatan GrabShare diperkenalkan bagi membolehkan orang ramai ke destinasi mereka dengan lebih menjimatkan sambil mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.

“Kami yakin GrabShare membolehkan kami memenuhi permintaan penumpang Malaysia yang semakin berkembang untuk perkhidmatan kami sementara membantu pemandu menjana lebih pendapatan,” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan terbaru Grab, di sini hari ini.

Bagaimanapun, tegasnya untuk mengekalkan konsep perkongsian kenderaan dan menjadikannya secara tetap adalah merupakan satu cabaran.

“Kami melihat GrabShare merupakan satu peluang menyampaikan penyelesaian perkongsian kenderaan dengan menggunakan kepakaran dan teknologi ini untuk Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Selain Malaysia, Grabshare juga boleh didapati di Singapura dan Filipina dan antara faedah perkhidmatan ini adalah menawarkan tambang lebih murah sehingga 30% berbanding kelas.

Ia menawarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan sehingga 4 orang dalam satu masa dengan mengehadkan 2 pelanggan pada satu masa dan setiap pelanggan dibenarkan membawa seorang rakan bersama mereka. - FMT

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments