Tuesday, 22 August 2017

Pemandu Bas Mengaku Curi Jam Pegawai Bola Sepak


SHAH ALAM – Seorang pemandu bas dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri seutas jam tangan milik pegawai pasukan bola sepak wanita Malaysia di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Khamis lepas.

Muhammad Izwan Ayub, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.

Tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara mulai dari tarikh ditangkap pada Khamis lepas.

Majistret turut memerintahkan hukuman penjara selama tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan. Dia kemudian membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Izwan, yang ketika itu bertugas sebagai pemandu bas bagi pasukan bola sepak wanita Myammar di Sukan SEA 2017, didapati mencuri seutas jam tangan jenama Swatch Edisi Rio 2016 berharga kira-kira RM600 milik Norzazarna Omar yang tertinggal di dalam bas pasukan bola sepak wanita Malaysia pada Khamis lepas antara pukul 8 hingga 9 malam di Jalan UiTM, Stadium UiTM di sini.

​​​​​​​​​​​​​​Dia​ melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu peguam tertuduh, Nurul Ikrimah Mohd Raya memohon kepada mahkamah agar mengenakan hukuman yang ringan terhadap anak guamnya memandangkan dia merupakan anak lelaki sulung yang banyak membantu dalam menanggung perbelanjaan keluarga.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments