Tuesday, 14 February 2017

Pendidikan setakat SPM, tapi jana pendapatan lebih RM15 juta setahun


Berbekalkan minat mendalam untuk berniaga mendorong individu ini bergelar pengimport ternakan lembu yang berjaya dan mampu menjana pendapatan lebih RM15 juta setahun walaupun latar belakangnya hanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mohd Faizal Mohd Yatim, 35, yang berasal dari Pulau Pinang kini mampu berbangga apabila memiliki perniagaan menternak lembu diimport dari Thailand.

Menurutnya, selepas tamat tingkatan lima, beliau pada mulanya menjadi penjual ayam di pasar sebelum beralih arah sebagai pengimport lembu untuk pasaran negara ini sejak lapan tahun lalu.

“Lembu yang dibawa masuk dari Thailand ini ditempatkan di Pusat Kuarantin Swasta AMD Agrofarm di Kampung Padung, Bukit Kayu Hitam di mana saya menyewa tapaknya, di sini.

“Alhamdulillah perniagaan yang dijalankan ini banyak mengubah kehidupan saya dan permintaan lembu ini meningkat menjelang Aidiladha,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pusat kuarantin itu sempena lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Kedah, baru-baru ini.

Mohd Faizal berkata, pada hari biasa hanya 1,000 lembu saja dibawa masuk ke negara ini sebelum ditempatkan di pusat kuarantin terlebih dulu selama 15 hari.

“Bagaimanapun menjelang April setiap tahun saya akan mengimport lembu sekitar 3,000 hingga 4,000 ekor bagi menampung permintaan daging menjelang Aidiladha.

“Mengimport lembu dari negara jiran ada syarat yang perlu dipatuhi sebelum lembu itu boleh dijual sementara haiwan itu dikuarantinkan selama 15 hari di sini,” katanya.

Menurutnya, proses kuarantin bermula sehari selepas lembu melepasi pemeriksaan di sempadan dan lembu yang tiba di pintu sempadan diperiksa dokumentasi serta saringan gejala penyakit.

“Seterusnya, sebaik tiba di pusat kuarantin pula, sekali lagi pemeriksaan gejala penyakit dilakukan sebelum lembu disembur ubat. Proses mengambil darah dilakukan sebelum pemberian vaksin sepanjang tempoh berkenaan (15 hari).

“Lembu yang dibawa masuk ini hanya boleh dijual pada hari ke-16, namun jika ada lembu yang berpenyakit ia akan dimusnahkan pihak MAQIS (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia),” katanya.

Hingga kini terdapat 16 pusat kuarantin di seluruh negara dan 10 daripadanya dikendalikan pihak swasta.

Terdahulu ketika melawat pusat itu, Ahmad Shabery berkata, negara memerlukan sekurang-kurangnya 60,000 lembu import setahun dan ia akan meningkat pada musim tertentu seperti Aidiladha.

“Sementara jumlah keseluruhan daging diperlukan pula sebanyak 165,000 tan metrik dengan peratus pengimportan sebanyak 70 peratus iaitu termasuk daging sejuk beku bagi menampung keperluan tempatan.

“Kita banyak mengimport daging sejuk beku dari India malah satu pasukan dihantar ke sana terdiri daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Kementerian Kesihatan dan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) untuk memastikan pusat pemprosesan mereka memenuhi piawaian,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, kementeriannya menghormati langkah beberapa negeri yang mahu memperketat peraturan kawalan pencegahan penyakit bawaan haiwan di negeri masing-masing.

“Antara langkah yang diambil adalah berkaitan tempoh kuarantin di pusat kuarantin bagi memastikan haiwan diimport bebas daripada penyakit.

“Memang kita cuba selaras tetapi kita kena hormati beberapa negeri yang mahukan syarat tertentu lebih ketat untuk membendung penyakit seperti kuku dan mulut,” katanya.

Katanya, ada negeri berbeza langkah kawalannya yang mana ada negeri yang tidak ada masalah penyakit (kuku dan mulut) tetapi ada negeri menghadapi masalah berkenaan dan mahu mengetatkan peraturan bagi langkah pencegahan.

“Ada sesetengah negeri mengenakan syarat tempoh kuarantin ternakan selama 15 hari dan ada sesetengahnya hingga maksimum 41 hari.

“Undang-undang ternakan ini adalah senarai bersama iaitu ada kuasa ditetapkan Kerajaan Persekutuan dan ada yang ditetapkan kerajaan negeri,” katanya. - Mymetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments