Tuesday, 7 February 2017

Kerajaan perlu kembalikan subsidi minyak

BENTONG - Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah mendesak agar kerajaan persekutuan kembali mewujudkan subsidi minyak supaya rakyat tidak terasa dengan kenaikan harga bahan api itu. 

Saifuddin berkata, harga minyak di negara ini menjadi tidak menentu yang kadang kala naik dan turun disebabkan kerajaan persekutuan telah menamatkan subsidi harga minyak.

Menurutnya, kalau dibandingkan dengan negara-negara yang merupakan pengeluar minyak, Malaysia merupakan negara yang menjual minyak dengan harga yang tinggi.

“Saya faham terdapat faktor-faktor tertentu yang merupakan perbezaan harga tersebut tetapi apabila jaraknya agak jauh maka kewibawaan kerajaan Malaysia menguruskan isu ini adalah meragukan.

“Naik turun minyak kini tidak lagi dikawal oleh subsidi tetapi ditentukan oleh harga pasaran dunia yang menyebabkan rakyat kita terkesan dan menerima akibatnya,”katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Saifuddin berkata dengan kenaikan harga minyak, lazimnya ia akan diikuti dengan kenaikan harga barang-barang.

Namun, katanya apabila harga minyak turun, harga barang-barang yang naik itu tidak pula diturunkan oleh pihak kerajaan.

“Kesannya, ia menyebabkan rakyat terutamanya mereka yang miskin dan golongan berpendapatan rendah merasa lebih terhimpit dengan kesusahan yang panjang.

“Inilah kesan buruk akibat daripada dasar kerajaan persekutuan yang tidak mengambil kira nasib rakyat. Walaupun kerajaan persekutuan memberikan bantuan seperti BR1M tetapi jumlahnya tidak dapat mengatasi kos tingi yang terpaksa dipikul rakyat,”katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata kerajaan perlu segera mencari jalan yang terbaik untuk tidak menaikkan harga minyak yang begitu tinggi sehingga boleh menjejaskan punca pendapatan masyarakat.

“Kemungkinan harga minyak akan naik lagi namun ianya tidak dapat dijangka kerana ianya mengikut harga pasaran dunia dan cara harga itu hanya sesuai sekiranya harga barang-barang di negara ini menggunakan konsep yang sama tetapi kita tahu itu tidak mungkin akan berlaku.

“Sebab itu, kerajaan persekutuan perlu kembali mewujudkan subsidi minyak bagi memberi keselesaan kepada rakyat. Jika perkara ini masih berterusan, rakyat perlu ubah kerajaan kerana kerajaan yang sedia ada tidak memikirkan hal ini,”katanya. - Sinar Harian

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments