Tuesday, 14 February 2017

Jalan raya Batu Sapi undang bahaya, penduduk Sandakan tandatangan petisyen


Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah akan menyerahkan petisyen rakyat bagi mendesak agar jalan raya di Batu Sapi dibaik pulih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JKR ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong.

Menurut Pengerusi Amanah Sabah Hamzah Abdullah setakat ini lebih 500 tandatangan penduduk Sandakan berjaya dikumpulkan sejak petisyen itu dilancarkan di Terminal Bas Sandakan pada Sabtu lalu.

"Pihak kami sudah mengambil beberapa langkah untuk membantu menyelesaikan kesusahan rakyat berhubung perkara ini. Aduan kepada MPS telah dibuat, bahkan kami juga telah menghubungi talian bebas tol JKR. Malangnya, kami dapati nombor tersebut tiada di dalam perkhidmatan.

"Justeru, kami berpandangan, suatu desakan yang lebih kuat perlu dilakukan. Petisyen ini akan diserahkan kepada YB Stephen Wong untuk disuarakan di dalam sidang parlimen", kata Hamzah yang ditemui selepas edaran petisyen itu.


Menurut Hamzah, pada 2 Januari lalu, Amanah Sabah menghantar aduan kepada JKR Sandakan tentang keadaan jalan raya di Batu Sapi yang berlubang-lubang, gelap dan tidak mempunyai garisan jalan yang menyukarkan pemanduan pengguna-pengguna jalan raya.

Pada keesokan harinya, Bahagian Penyelenggaraan Jalan JKR Sandakan yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaran Batu Sapi telah menghubungi pihaknya dan memaklumkan bahawa mereka tidak dapat membaiki jalan kerana musim hujan dan hanya boleh menampal lubang-lubang besar sahaja.

"Memahami halangan yang dihadapi oleh JKR, Amanah Sabah meminta mereka memasang lampu jalan agar pengguna jalan raya nampak keadaan jalan yang berlubang dan lebih berhati-hati ketika memandu.

"Namun respons JKR mengatakan mereka tidak dapat memasang lampu jalan kerana kabel utama elektrik rosak dan wayarnya juga hilang," jelas Hamzah lagi.

Turut serta dalam edaran petisyen tersebut ialah Ketua Pemuda Amanah Batu Sapi Yunizam Yusop.


"Tahniah dan syabas diucapkan kepada warga Sandakan yang telah memberikan kerjasama menandatangani petisyen mendesak JKR Sandakan membaiki jalan raya di Batu Sapi dan Sandakan seluruhnya," katanya yang juga Timbalan Ketua Pemuda Amanah Sandakan.

Edaran petisyen seterusnya akan dijalankan di sekitar Batu 7, sekaligus menuntut pihak berwajib membina jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan. - Malaysiadateline

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments