Tuesday, 7 February 2017

Huru Hara Seperti Filem 'The Purge' Di Brazil

Rio De Janeiro: Presiden Brazil mengerahkan sehingga 200 tentera dihantar ke negeri Espírito Santo yang kini huru-hara akibat mogok polis yang menyaksikan rompakan, pembunuhan dan jenayah rogol berleluasa. 

Keadaan di negeri itu bagaikan filem ‘The Purge’ dengan orang awam mengambil kesempatan melakukan jenayah tanpa kehadiran pihak berkuasa. 

Media Brazil melaporkan jenayah di Espirito Santo di utara Rio de Janeiro, meningkat mulai hujung minggu lalu, selepas polis melancarkan mogok kerana tidak mendapat gaji. 

Krisis kewangan Brazil menyebabkan banyak negeri di negara itu menghadapi masalah untuk membayar gaji kakitangan awam dengan kerajaan pusat sendiri kini bertungkus-lumus untuk membayar gaji kakitangan awal, termasuk polis, guru dan doktor. 

Reuters melaporkan sehingga 50 orang terbunuh sejak huru-hara bermula di Espírito Santo, negeri berpenduduk 3.9 juta orang, terutama di bandar raya Vitoria yang berpenduduk dua juta orang. 


Rakaman video dan gambar menunjukkan kedai dipecah masuk serta mayat di jalanan. Ramai mengganas di jalanan dengan membawa parang atau senjata api. Mereka merompak kedai serta membakar bas. 

Anggota polis pula berlindung dalam balai polis sejak melancarkan mogok mulai Sabtu lalu, menuntut gaji dibayar, tidak mempedulikan apa yang berlaku di luar. 

Media melaporkan banyak keganasan berlaku dengan seorang penduduk memberitahu portal berita Political Outsource: “Penjenayah melepaskan tembakan rambang kepada orang ramai di jalanan.” 

Sekolah ditutup, begitu juga pejabat kerajaan, termasuk klinik dan orang ramai mengurung diri dalam rumah – Agensi/HMetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments