BUDAK lelaki berusia tiga tahun yang muncul dalam rakaman video dan didakwa dipaksa menghisap syabu diselamatkan polis hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan selamat ketika dibawa oleh ibunya yang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Sungai Petani, 1.30 tengah hari.
Beliau berkata, wanita berusia 27 tahun itu bagaimanapun menafikan anaknya dipaksa menghisap syabu sebaliknya peralatan menghisap dadah yang dipegang anaknya itu kosong.
“Dia mendakwa sengaja melakukannya (rakaman video) semata-mata untuk menyakiti hati bekas suami,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, wanita dan anaknya kini dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk mengambil sampel darah bagi tujuan analisis.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati wanita itu mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah dan memiliki senjata berbahaya.
“Polis sudah merakam keterangannya namun dia tidak ditahan kerana sarat mengandung lapan bulan,” katanya.
Portal berita Harian Metro awal pagi ini melaporkan seorang nenek dari Havard Estate Bahagian 2, Gurun, terkejut apabila melihat tujuh video memaparkan cucunya dipercayai diberi dadah oleh teman lelaki bekas menantunya, kelmarin.
Wanita berusia 53 tahun itu melihat rakaman video itu 3 petang kelmarin, selepas ditunjukkan oleh seorang lagi cucunya.
Video berkenaan antaranya memaparkan cucunya diberikan dadah dalam keadaan tidak berbaju, khayal serta tidak bermaya.
Susulan itu polis giat mengesan untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001. – Harian Metro
No comments:
Write comments