Monday, 21 August 2017

KL2017: 16 Anggota STAFOC Kawal Puteri Sirivannavari


KUALA LUMPUR – Di sebalik kemeriahan aksi di gelanggang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), tumpuan peminat juga kerap beralih arah melihat kehadiran anggota keselamatan yang ditempatkan di venue serta lokasi berkaitan.

Mungkin ramai yang tidak menyedari, penempatan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) melalui Op Cantas Rimau sempena KL2017 itu bukan hanya dibuat di kawasan tumpuan awam, malah turut membabitkan pengawasan orang kenamaan (VVIP).

Lebih menarik, semua elemen JSJ seperti Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Bahagian Jenayah Berat (D9) dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) itu turut digabungkan untuk menjaga keselamatan seorang puteri Raja Thailand.

Puteri Sirivannavari Nariratana, 30, anak Raja Vajiralongkorn, adalah atlet VVIP Thailand yang mengambil bahagian dalam acara ekuastrian yang dijadualkan bermula Selasa ini.

Seramai 16 pegawai dan anggota STAFOC ditempatkan mengawasi pergerakan puteri itu sepanjang tempoh berada di negara ini, manakala 24 petugas lain ditugaskan mengawasi orang kenamaan yang lain.


Sebahagian besar daripada pegawai dan anggota terbabit akan memakai uniform lengkap dengan peralatan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan ancaman serta tindakan pencegahan.

Bahkan, kawalan di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil sempena upacara perasmian malam tadi turut diperkuatkan dengan pengawasan pasukan JSJ, termasuklah pasukan yang mengiringi Puteri Sirivannavari yang turut menyertai perarakan kontinjen di stadium.

Pada masa sama, Fasa 3, Op Cantas Rimau, iaitu pengawasan dan meningkatkan kehadiran polis turut dijalankan di lokasi tumpuan awam dan pelancong seperti pusat beli-belah, stesen pengangkutan awam, serta tempat penginapan atlet dan deligasi asing. – BH Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments