Tuesday, 22 August 2017

5 Rokok Sehari, Pemuda 24 Tahun Hidap Kanser Mulut


HISAP lima batang rokok setiap hari sejak berusia 17 tahun, Muhammad Faid adalah salah seorang pesakit termuda yang disahkan menghidap kanser mulut.

Dia yang baharu sahaja menjejaki usia 24 tahun kini terpaksa menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Walaupun punca kanser itu tidak diketahui, doktor berkata kebanyakan pesakit kanser mulut terdiri daripada perokok.

Faid yang juga pelajar tahun tiga jurusan pendidikan di sebuah universiti berkata pada awalnya dia mengalami masalah ulser di lidah kirinya.

Namun dia tidak mengendahkannya kerana ia tidak begitu menyakitkan.

Ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Anita, 52, berkata luka yang muncul awal tahun lalu tidak hilang begitu sahaja.

Pada November, hasil ujian biopsi mendapati ia adalah kanser.

Anita berkata, antara November dan Mei lalu, Faid mengalami pendarahan sebanyak empat kali dan terdapat rongga dalam lidahnya.

Kanser itu masih di Tahap I dan II pada Februari tetapi pada Mei ia sudah di Tahap III.

Susulan itu, doktor terpaksa memotong sebahagian lidah Faid pada 17 Mei lalu.

Doktor telah membina semula lidahnya dengan lebihan kulit pahanya dan Faid kini boleh bercakap sedikit.

Dia masih tidak boleh makan tetapi hanya menerima makanan menerusi tiub manakala lubang telah ditebuk di trakea bagi membolehkannya bernafas.

Seorang lagi pesakit yang enggan namanya didedahkan berkata dia mula-mula menemui satu benjolan kecil di pipinya pada Mac lalu.

“Ia seperti jerawat kecil tetapi pada Mei ia menjadi semakin besar di pipi kanan. Ia membesar amat cepat,” kata suri rumah berusia 60 tahun dari Johor yang disahkan menghidap kanser mulut Tahap IV.

Wanita itu berkata dia tidak menyedari perbuatan mengunyah sirih dan pinang berupaya meningkatkan risiko kanser.

“Saya mengunyah sirih dan pinang setiap hari sejak berusia 13 tahun. Ibu saya yang berusia 83 tahun turut mengunyah makanan itu sepanjang hidupnya tetapi dia sihat.

“Saya menasihati ibu dan kakak sulung saya untuk berhenti mengunyah makanan itu. Tiada siapa patut menerima penyakit seperti ini,” katanya. – mStar Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments