KLANG – Kampung Padang Jawa di sini menjadi tumpuan sejak petang semalam apabila kelibat seekor buaya tembaga sekali lagi muncul di permukaan Sungai Klang.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, reptilia tersebut dikatakan timbul di celah permukaan beting pasir ketika air sungai surut.
Penduduk, Mahyuddin Mohd Yusuff, 33, berkata, lokasi itu menjadi tumpuan apabila sang bedal itu tidak berganjak walaupun orang ramai sudah mengerumuni kawasan sekitar.
Menurutnya, penduduk kini bimbang kerana reptilia berkenaan muncul di kawasan terbabit.
“Penduduk bimbang kerana ramai antara kami menjadikan sungai ini sebagai tempat memancing.
“Selain itu kawasan kampung ini juga sering dilanda banjir, kami bimbang buaya ini terlepas masuk seterusnya membahayakan keselamatan penduduk,” katanya memetik Harian Metro.
Pada April lalu, seekor buaya dengan anggaran ukuran enam meter dilihat menyusuri Sungai Klang berhampiran landasan transit aliran ringan (LRT) di bandar Klang.
Kejadian itu menggemparkan penduduk namun setakat ini tiada laporan mengenai ancaman reptilia itu. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments