Wednesday, 5 July 2017

Harga Minyak Naik Sikit Setelah 5 Minggu Jatuh


PUTRAJAYA – Harga runcit siling bahan bakar ditetapkan secara mingguan mulai 30 Mac lalu, dan bagi tempoh seminggu berikutnya menyaksikan semua jenis minyak naik sedikit untuk julung kali.

Ia sudah diramal pelbagai pihak ekoran peningkatan harga di pasaran dunia selain ketidaktentuan senario geopolitik antarabangsa, sekali gus mencipta sejarah baharu apabila mula naik selepas asyik jatuh lima minggu berturut-turut.

Menurut laporan Berita N5 yang disiarkan oleh stesen TV1 RTM pada jam 5 petang Rabu, harga siling terbaharu produk RON 95 kini menjadi sebanyak RM1.93 seliter, naik empat sen berbanding sebelumnya iaitu RM1.89 seliter.

Manakala had harga runcit untuk petrol premium jenis RON 97 dalam tempoh seminggu akan datang pula telah ditetapkan kepada RM2.19 seliter, juga naik sebanyak empat sen dibandingkan sebelumnya iaitu RM2.15 seliter.

Dalam pada itu, harga runcit baharu untuk minyak diesel dalam tempoh tujuh hari yang sama diumumkan kepada RM1.91 seliter iaitu iaitu naik tujuh sen sahaja berbanding RM1.84 seliter ketika tempoh minggu sebelumnya.


Stesen penyiaran awam kebangsaan berkenaan melaporkan bahawa kesemua harga siling baharu untuk produk petroleum tersebut bermula dari pukul 12.01 tengah malam 6 Julai sehingga 11.59 malam pada 12 Julai depan.

Mulai 29 Mac lalu, Kabinet memutuskan penetapan harga runcit bahan api secara mingguan bagi membolehkan pengguna dapat menikmati trend kadar lebih stabil berbanding harga bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.

Pihak kerajaan sebelum itu melaksanakan penetapan harga siling bulanan secara kaedah pengapungan terkawal dengan mengguna pakai sistem kiraan formula Mekanisme Harga Automatik yang ditetapkan sejak 1983 lagi.

Penetapan harga runcit minyak secara bulanan itu sudah lama dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah pun bermula pada awal Disember 2014 lalu.

Namun, pengumuman rasmi secara mingguan dijangka dapat mengurangkan kegelisahan pengguna kerana corak perubahan harga tidak begitu ketara berikutan tempoh pengiraan yang agak pendek. – Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments