Wednesday, 15 March 2017

Tuaran: Polis Tembak Lelaki Ancam Bunuh Isteri


TUARAN: Polis menembak seorang lelaki menggunakan senjata elektrik (teaser gun) selepas bertindak mengugut untuk membunuh isteri dan anaknya menggunakan sebilah pisau di Kampung Bakut, di sini, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek berkata suspek berumur 33 tahun terbabit mengancam untuk membunuh isteri dan anaknya yang berumur lapan bulan menggunakan pisau berukuran 26 sentimeter di rumah mereka dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Katanya selepas bergaduh dengan isterinya, suspek mengambil anaknya daripada isterinya sebelum mengunci bilik tidur dan mengugut untuk menikam anak mereka menggunakan pisau.

Menurutnya, isteri suspek yang takut dengan kejadian itu kemudiannya bertindak meminta bantuan daripada penduduk kampung sebelum perkara itu dilaporkan kepada pihak polis.

“Polis terpaksa mengambil masa hampir sejam untuk memujuk suspek untuk menyerah diri.

“Suspek kemudiannya keluar dari bilik tidur dengan bertindak agresif sambil memegang isterinya dari arah belakang dan mengugut untuk membunuhnya.

“Kita terpaksa menggunakan teaser gun bagi melindungi dan melepaskan wanita dan anaknya daripada menjadi mangsa suspek,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya hasil siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau atau rekod masalah mental sebelum ini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya sambil menambah, kedua-dua mangsa dirujuk ke Hospital Daerah Tuaran untuk pemeriksaan lanjut. - Suara Sabah

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments