Tuesday, 14 March 2017

Tempah 240, sampai 2400.. Bagaimana premis ini jual semuanya dalam sehari


TOKYO – Bayangkanlah jika anda sebagai peniaga premis secara tiba-tiba terpaksa menerima sejumlah 2,400 biji kek walhal sebenarnya hanya membuat tempahan sebanyak 240 biji sahaja.

Begitulah dilema yang dialami pihak pengurusan pasar raya Aizawa di Wakkanai, sebuah bandar raya di hujung utara pulau Hokkaido, kira-kira 1,473 kilometer dari ibu kota Jepun, Tokyo, menurut laporan media tempatan.

Ia berlaku gara-gara kesilapan oleh pemilik premis tersebut sendiri apabila secara ralat tertulis tambahan angka 0 dalam sistem pesanan sekali gus mengakibatkan mereka menerima 2,400 biji berbanding sepatutnya cuma 240 biji.

Kekhilafan tersebut bagaimanapun hanya disedari pada keesokan harinya apabila penghantar daripada kedai bakeri berdekatan pasar raya itu kemudian datang dengan membawa jumlah besar tempahan produk kek berkenaan.

“Saya tidak gurau, inilah yang sebenarnya berlaku. Kesemua kek ini tidak boleh lagi dijual selepas tamat tarikh luput dalam masa dua hari. Maka kami jual separuh harga. Sila datang dan cepat beli,” kata pemiliknya menerusi Twitter.


Kicauan tersebut mengundang perasaan simpati pelbagai pengguna media sosial kerana pasar raya itu tiada ramai pelanggan dan terletak agak pedalaman di tepi pantai dengan penduduk sekitarnya pun hanya 36,000 orang.

Bagaimanapun rayuan kecemasan si pemilik itu tanpa diduga menyebabkan Aizawa selang beberapa jam kemudian diserbu ramai pengunjung apabila kicauan Twitter tersebut menjadi tular setelah dikongsi lebih 9,000 netizen.

“Ada juga pelanggan membeli lebih 100 biji dan saya terharu kerana mereka sanggup datang selepas terkesan dengan kicauan saya. Hasilnya semua kek habis dijual sebelum pasar raya ditutup jam 7 petang,” kata pemiliknya.

Media Jepun melaporkan, kek tersebut malah laris serta mendapat sambutan hangat apabila dijual hanya pada harga 100 yen (kira-kira RM3.90) yang termasuk cukai barangan dan perkhidmatan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments