Tuesday, 14 March 2017

SUV Pertama Proton Hanyalah April Fool?


HARAPAN rakyat Malaysia untuk menyaksikan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama milik Proton Holdings Bhd. tidak kesampaian apabila gambar yang tular di media sosial rupa-rupanya adalah palsu.

Sebelum ini, kecoh diperkatakan ramai netizen kononnya Proton bakal menggeluarkan model SUV sendiri selepas tersebarnya gambar sebuah model ‘rebadged’ daripada Suzuki Vitara Brezza.

Gambar kenderaan yang ‘dilencanakan’ dengan logo Proton malah ada cukai jalan di cermin bertarikh tamat 1 April 2017 itu turut memaparkan latar belakang sebuah Proton Iriz dari bahagian tepi.

Hakikatnya, gambar sensasi yang tersebar luas itu sebenarnya telah diubah suai menerusi aplikasi photoshop oleh pihak tertentu tidak bertanggungjawab.

Justeru ada beberapa portal pemotoran tempatan menyifatkan penyebaran gambar tersebut sebagai jenaka April Fool bersempena tarikh pada pelekat cukai jalan di kereta tersebut.

Di sini kami kongsikan gambar Suzuki Vitara Brezza yang sebenar disiarkan oleh sebuah laman sesawang permotoran dari India, Team-bhp.com.


Difahamkan, Suzuki Vitara Brezza menjadi SUV paling tinggi jualannya di pasaran India disebabkan saiznya tidak terlalu besar, lebih ekonomi dan harganya dalam kategori mampu milik, iaitu kira-kira 700,000 rupee (RM50,000).

Malah ia mengalahkan pesaing terdekatnya iaitu Honda HR-V dan Mazda CX-3 yang mempunyai harga yang agak jauh lebih tinggi berbanding Brezza.

Proton dan Suzuki kebetulan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Perlesenan (LA) bagi membentuk kerjasama serta perkongsian strategik dalam tempoh jangka masa panjang.

Maka hasilnya, Proton telah melancarkan model kenderaan pelbagai guna (MPV), Proton Ertiga yang dilancarkan pada November tahun lepas. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments