Tuesday, 14 March 2017

Lepas Mat Dan, Muncul Mat Daud Fasih Cakap Kelantan


FIGURA bernama Mat Dan memang tidak asing lagi dalam kalangan penduduk Malaysia dengan kefasihannya bertutur dalam loghat negeri Terengganu.

Namun ini pula kisah seorang lelaki dikenali sebagai Fatih Imamoglu, 24, yang fasih bertutur dalam loghat Kelantan.

Video Fatih atau Mat Daud fasih bertutur dalam loghat Kelantan dikongsi oleh pengguna Facebook, Shahrul Ibrahim pada 9 Mac lalu sensasi di laman sosial.

Video berdurasi 57 saat itu menjadi viral dan sehingga kini telah ditonton lebih 100,000 orang serta dikongsi hampir 1,600 pelayar Facebook.

Dalam video tersebut, Mat Daud memberitahu dia merupakan kacukan Amerika Syarikat dan Turki dan telah menetap di Kelantan sejak lapan tahun lalu.

Jelasnya lagi, kehadirannya ke negeri Che Siti Wan Kembang itu hanya suka-suka namun tidak menyangka tertarik dengan negeri itu dan akhirnya membuat keputusan untuk terus menetap di sana.

Dalam pada itu, Mat Daud turut memuji akan kecantikan wanita Kelantan dan makanan yang ada di sana tapi mengakui tidak menggemari budu yang sinonim dengan masyarakat Kelantan kerana ia menyebabkan mukanya ditumbuhi jerawat.

Malah dia juga sempat berseloroh apabila ditanya sama ada sudah mempunyai isteri atau belum, Mat Daud meminta untuk mencarikannya seorang wanita Kelantan untuk dijadikan isteri. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments