Nibong Tebal: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan ketika sedang mencuri duit dan barang berharga dalam sebuah kereta di hadapan rumah di Taman Pekaka, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafee Abdul Samad berkata, dalam kejadian 9.55 malam itu, pemilik yang juga seorang mahasiswa meletakkan Suzuki Swift di luar pagar rumahnya selepas balik dari membeli barang di sebuah pasar raya berhampiran.
“Lelaki berusia 22 tahun itu mengambil barang yang dibeli dan membawa masuk ke dalam rumah tapi tidak mengunci keretanya kerana mahu keluar semula.
“Selang beberapa minit, pemilik ternampak pintu kereta sebelah pemandu terbuka dan mendapati terdapat remaja sedang menyelongkar barang dalam keretanya,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, lelaki itu dengan bantuan keluarganya berjaya menahan remaja berkenaan sebelum menyerahkan suspek kepada polis.
Shafee berkata, pemeriksaan awal oleh mangsa mendapati sejumlah wang syiling dalam keretanya dicuri remaja itu.
Katanya, siasatan awal mendapati remaja lelaki yang tidak bersekolah itu turut terbabit dalam beberapa kes pecah kereta di sekitar kawasan berkenaan.
“Polis menemukan wang syiling kira-kira RM5 bersama remaja itu dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Beliau berkata remaja itu kini direman bagi membantu siasatan. - Mymetro
No comments:
Write comments