Thursday, 16 March 2017

Caj Tersembunyi: Lagi Pelanggan Digi Mengamuk


NAMPAKNYA syarikat telekomunikasi Digi menjadi ‘popular’ minggu ini apabila sekali lagi kejadian mengamuk membabitkan syarikat tersebut dilaporkan berlaku.

Terbaharu, seorang lelaki bertindak membaling telur di pejabat Digi di percayai di cawangan Bintulu, Sarawak.

Kejadian itu dikongsikan pengguna Facebook, Mohd Lantou yang memaparkan video seorang lelaki berbaju dan berseluar hitam serta berkaca mata membaling telur pada cermin syarikat telekomunikasi itu sebelum berlalu pergi.

Turut dimuat naik ialah gambar lelaki berkenaan bersama seorang lelaki berbaju putih dengan memegang kertas bertulisan Cina yang tidak kelihatan jelas dalam foto tersebut.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan motif lelaki berkenaan bertindak membaling telur di pejabat telekomunikasi itu.

Menerusi ruangan komen mendapati lelaki berkenaan mengamuk selepas dikenakan caj tersembunyi oleh syarikat berkenaan.

Perkongsian tersebut mendapat kecaman netizen yang menganggap tindakannya itu tidak memberikan sebarang kebaikan.

“Apa faedah? Ada tak org atasan turun tolong cuci cermin itu nanti? Pekerja biasa juga yg tolong cuci.

“Pekerja yang cari rezeki halal tak tau kena mengena dengan hidden charges (caj tersembunyi) itu jugak yang cuci. Bayangkan anda yang pekerja mencuci kotoran itu. Mesti sakit hati kan,” tulis Benjamin Sibat.


Kejadian baling telur di syarikat telekomunikasi itu bukan pertama kali berlaku apabila awal Januari, seorang lelaki mengamuk membaling telur di pejabat Digi di Petaling Jaya, Selangor.

Lelaki bernama Mohd. Al Iman ini tidak berpuas hati apabila Digi menolak sejumlah wang yang agak besar dari kad kreditnya, walhal sepatutnya tiada penolakan.

Malah, dia juga telah membuat aduan melalui surat waima e-mel dan Facebook selama setahun namun tidak pernah dilayan.

Bagaimanapun, kes tersebut selesai secara damai apabila pihak Digi bersetuju untuk berbincang dan mendengar masalah yang dialaminya.


Isnin lalu, seorang lelaki yang tidak dapat menahan kemarahannya selepas kredit telefon prabayarnya susut RM4 setiap hari bertindak memecahkan pintu kaca dan beberapa telefon bimbit di dua cawangan kedai sebuah syarikat telekomunikasi di Sibu, Sarawak.

Nampaknya, pelanggan Digi sudah semakin berani bertindak sendiri selepas mungkin tidak tahan dengan caj tersembunyi yang dikenakan.

Mungkin pihak Digi membuat penjelasan tersendiri berhubung isu ini. Kita tunggu dan lihat sahaja selepas ini. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments