Tuesday, 7 February 2017

Penjara Syria jadi 'rumah sembelih'

Beirut: Kerajaan Syria membunuh sekurang-kurangnya 13,000 tahanan di penjara seluruh negara itu sejak perang saudara bermula pada 2011 sama ada akibat diseksa atau menggantung mereka hinggakan satu penjara di utara Damsyik digelar ‘rumah penyembelihan’.

Menurut laporan Amnesty International yang disiarkan hari ini, dalam tempoh antara 2011 hingga 2015, seramai 20 hingga 50 orang digantung setiap minggu di Penjara Saydnaya, pembunuhan yang diarah atau dibenarkan pemimpin kanan Syria, termasuk mufti besar dan menteri kerajaan Presiden Bashar Assad serta pembunuhan oleh polis tentera.

Laporan itu merujuk pembunuhan berkenaan sebagai ‘kempen terancang pembunuhan tanpa bicara’.

Timbalan Pengarah Penyelidikan Wilayah Amnesty di Beirut, Lynn Maalouf, berkata sekurang-kurangnya 35 cara penyeksaan dilakukan di Syria sejak hujung 1980-an, amalan yang semakin meningkat mulai 2011.

Pertubuhan hak asasi lain turut menemui bukti penyeksaan beramai-ramai yang membawa kepada kematian dalam penjara.

Laporan Amnesty tahun lalu menyatakan lebih 17,000 orang mati akibat penyeksaan ketika dalam tahanan di seluruh Syria sejak 2011 dengan purata lebih 300 kematian sebulan.

“Kempen mengerikan yang diarahkan pemimpin tertinggi kerajaan Syria bertujuan menghapuskan sebarang tentangan rakyat terhadap kerajaan.

“Sebahagian pembunuhan itu dilakukan selepas perbicaraan pantas, tak sampai satu atau dua minit. Ia dibenarkan peringkat tertinggi kerajaan, termasuk mufti besar dan menteri pertahanan,” kata Lynn Maalouf.

Antara sumber Amnesty ketika mengumpul maklumat ‘jenayah’ itu ialah temuramah dengan 31 bekas tahanan dan lebih 50 pegawai dan pakar, termasuk bekas wardar penjara dan hakim.

Menurut Maalouf, tahanan diberitahu kononnya dipindahkan ke penjara awam, namun sebaliknya dibawa bangunan lain dan digantung.

“Mereka berjalan dalam barisan seperti kereta api, tunduk ke lantai. Kali pertama melihat mereka, saya berasa seram, ngeri. Mereka dibawa ke ‘rumah sembelih’,” kata bekas tahanan, Hamid.

Bekas tahanan, Omar Alshogre, berkata sesi penyeksaan bermula selepas tengah malam dekat kurungannya dan dia boleh mendengar.

Alshogre yang ditahan selama enam bulan di Penjara Saydnaya, kini berusia 21 tahun dan tinggal di Sweden, berkata dia dipaksa berdiri mengadap dinding dan menutup mata ketika beberapa rakan dalam kurungannya diseksa, termasuk dilemaskan atau dicekik hingga mati.

“Tidak boleh melihat namun boleh dengan rakan tahanan mati di belakang saya,” katanya yang ditahan ketika berusia 17 tahun dan dipindahkan ke hampir 10 penjara sebelum berakhir di Saydnaya.

Dia yang berjaya keluar selepas membuat sejumlah bayaran pada 2015, menghidap batuk kering dengan berat badannya hanya tinggal 35 kilogram.

Dua sepupunya yang turut ditahan mati dalam penjara, dengan seorang yang paling muda, mati di atas pangkuan Alshogre akibat sakit dan kebuluran.

Alshogre sendiri hampir mati akibat tidak diberi makanan selama beberapa hari dan seorang rakan tahanan memberi makanannya.

“Dia meninggal dunia beberapa hari kemudian. Dia memberi saya nyawa yang ada sekarang,” katanya. - Mymetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments