Bahasa Malaysia merupakan Bahasa ibunda bagi rakyat Malaysia dan diajar sejak kecil lagi. Tidak kiralah belajar secara langsung di sekolah atau secara tidak langsung dengan rakan-rakan, ahli keluarga atau orang sekeliling. Jadi, sudah semestinya rakyat Malaysia tahu dan fasih berbahasa Malaysia. Namun, realiti adalah sebaliknya.
The Malay Mail Online telah menemu bual Masaya Ono, pelajar pertukaran dari Jepun yang berusia 21 tahun dan tinggal di Malaysia mengenai pengalaman beliau. Kata Ono, dia sangat terkejut apabila mendapati sesetengah rakyat Malaysia tidak boleh bercakap dalam Bahasa Malaysia tetapi pekerja asing yang datang lebih fasih dari penduduk setempat.
Tambah pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) tersebut, Ono mampu untuk bercakap perkataan asas Bahasa Malaysia selepas enam bulan sahaja di Malaysia.
Katanya, “Di Jepun, kami diajar untuk memartabatkan bahasa kami sehingga kebanyakkan masyarakat Jepun tidak tahu bercakap bahasa Inggeris. Malah, pelancong dan pekerja juga tahu berbahasa Jepun.”
“Apa yang mengejutkan saya ialah, orang asing seperti saya mampu bercakap Bahasa Malaysia lebih lancar berbanding rakyat Malaysia sendiri. Malah pengawal keselamatan dari Nepal dan Bangaldesh di tempat saya juga mampu berbahasa Melayu dengan baik. Kenapa ini terjadi? Pelik.”
Meskipun dia memerlukan masa untuk mempelajari asas Bahasa Malaysia, Ono mengambil inisiatif sendiri untuk memperbaiki penguasaan bahasanya dengan memperbanyakkan pembacaan, bersembang dengan rakan-rakannya dan menggunakan aplikasi Google apabila perlu.
Akibat sering disalah anggap oleh masyarakat setempat yang selalu menegur Ono dalam Bahasa Malaysia, dia nekad untuk mempelajarinya.
Katanya, “Mungkin sebab muka saya tak seperti orang Jepun jadi mereka salah sangka. Kadang-kadang apabila saya mahu memesan makanan di kedai, peniaga tersebut menyoal dalam Bahasa Malaysia. Tapi bagus lah, ia mengajar saya untuk berbahasa Malaysia.”
Ono turut menceritakan mengenai pengalamannya ke Perak dan Pulau Pinang di mana masyarakat di sana tidak boleh berbahasa Malaysia.
“Semasa di Ipoh, saya menaiki GrabCar dan saya terkejut apabila pemandu tersebut tidak memahami apa yang saya perkatakan dalam Bahasa Melayu. Lalu saya menggunakan Bahasa Inggeris namun dia membalas dalam Bahasa Mandarin. Nasib baik saya tahu sikit-sikit Bahasa Mandarin.”
Nampaknya kita perlu mempergiatkan lagi usaha untuk kembali memartabatkan Bahasa kebangsaan kita. - Era Baru
No comments:
Write comments