Tuesday, 14 February 2017

Masih ada percaya dunia bukan bulat!


PERCAYAKAH anda, masih terdapat golongan yang mempercayai bumi kita bersifat rata?

Walaupun kita biasa lihat imej bumi dalam bentuk bulat melalui gambar dan video, golongan ini masih percaya bumi ini bersifat datar.

Jumlah mereka bukan sedikit. Malah kemajuan internet membuatkan golongan ini mampu menarik ratusan ribu orang untuk berpegang kepada kepercayaan ini.

Golongan ini mendakwa kenyataan bahawa bumi ini berbentuk sfera hanya satu konspirasi tahap tertinggi oleh golongan-golongan elitis dunia.

Mereka mengatakan kajian oleh agensi angkasa dan badan persendirian sebagai palsu.

Mereka juga menganggap gambar serta video yang diperoleh dari satelit pelbagai negara telah disunting untuk kepentingan pihak tertentu.

Di Malaysia juga tidak terkecuali. Terdapat kumpulan yang mempercayai bumi ini rata.

Mereka amat taksub dan mula menyebarkan ideologi ini melalui laman-laman sosial.

Akhir-akhir ini ianya semakin menular terutamanya di kalangan remaja.

Apakah ini kepercayaan gila?

Apa hujah mereka?

PANEL pengkaji Facebook laman Bumi Bukan Sfera tampil mengemukakan hujah alternatif baharu sains iaitu teori bumi datar atau bahasa Inggerisnya sebagai flat earth.

Menurut teori bumi datar, bumi ini merupakan satu dataran yang amat luas dan mendakwa belum ada manusia yang mampu mengukur luas sebenar bumi.

“Bahagian bumi yang didiami oleh manusia ini kemudiannya dibatasi dengan lapisan ais (dalam teori bumi sfera disebut sebagai Benua Antartika). Bentuk bumi mengikut bumi datar ialah daratan dikelilingi air lautan dan mempunyai ‘kubah’ separa bulat/hemisfera di atasnya.

“Matahari, bulan, bintang dan segala objek langit beredar di atas permukaan bumi mengikut garis edar (orbit) masing-masing dengan ketinggian yang berbeza mengikut fungsi tertentu,” jelas panel pengkaji grup tersebut kepada Sinar Harian.


Menurutnya, jarak matahari dari bumi dianggarkan sekitar 4,800 kilometer (km), dan diameter bagi matahari dan bulan sekitar 50km.

Matahari contohnya bergerak dalam orbitnya yang tiga iaitu tropik Cancer, tropik Capricorn dan Equator.

Katanya, matahari dari masa ke masa akan berganjak mendekati dari satu orbit ke orbit lain mengikut ukuran lengkap setahun atau lebih tepat 365 hari, 5 jam, 48 minit, 45 saat.

Panel pengkaji Bumi Bukan Sfera di Facebook turut mengemukakan hujah bahawa siang dan malam terhasil daripada pergerakan matahari yang bergerak dalam orbitnya di atas bumi datar.

Cahaya matahari menyinari hanya sebahagian bumi pada satu-satu masa, jarak penglihatan maksimum objek di langit oleh pemerhati di Bumi ialah 10,000km.

“Lebih dari jarak ini, matahari atau objek langit akan berada di bawah garis horizon, inilah batas penglihatan manusia untuk objek di langit iaitu manusia akan melihatnya terbit dan terbenam.

“Konsep baharu dalam penerangan bumi datar ialah keadaan siang itu sendiri dibantu oleh terangnya warna biru langit, dalam kajian bumi datar, warna biru langit terhasil daripada warna gas atau cecair nitrogen yang berada dalam medan elektromagnet.

"Gas nitrogen yang terhasil dari bumi akan naik ke atas disebabkan perbezaan ketumpatan berbanding gas yang lain.

“Bagi bumi datar, segala objek di langit bergerak pada orbit atau corak pergerakan masing-masing yang mengelilingi di atas bumi.

Jika bumi beredar, tidak mungkin bintang-bintang zodiak dapat kelihatan. Sangat tidak masuk akal jika bumi yang berputar dan beredar untuk fenomena ini berlaku,” katanya.

Menurutnya, pada waktu siang cahaya bintang tidak dapat dilihat dengan jelas kerana terangnya cahaya matahari atau terangnya cahaya langit.

Bintang tertentu hanya dapat dilihat pada sebelah pagi atau petang disebabkan waktu peralihan dari malam ke siang atau sebaliknya. Cahaya bintang dilihat ketara misalnya sebagai bintang kejora dapat dilihat pada sebelah waktu petang menghampiri waktu Maghrib, sains moden menyatakan bintang kejora sebagai planet zuhrah.

Menurut teori bumi datar, planet adalah bintang solo yang terang, bergerak secara orbit dan berbentuk cakera beribu kilometer di atas bumi. Bintang terang berbeza dengan bintang dalam kedudukan buruj (zodiak).

“Bintang terang ada yang lebih dekat dan ada yang lebih jauh dari matahari dan bulan berbanding jaraknya dengan bumi. Manakala bintang buruj lebih jauh dari matahari dan bulan berbanding jaraknya terhadap bumi.


Bintang terang secara solo boleh merayap pada kedudukan tertentu melintasi bintang buruj manakala bintang buruj tetap dalam posisi berantai berbentuk tertentu sejak beribu-ribu tahun dan tidak pernah berubah. Ini secara jelas membuktikan bahawa bumi itu diam tidak beredar.

"Corak peredaran bintang terang dan bintang buruj adalah sama sepanjang tahun sejak beribu tahun. Oleh itu, sudah ada pemetaan bintang pada bahagian tertentu bumi seperti bintang buruj Ursa Major dapat dilihat di kedudukan bahagian benua berhampiran utara, manakala pada bahagian benua berhampiran selatan (sekeliling ais) pula dapat lihat bintang-bintang pada bahagian masing-masing. Manusia sudah membuat ‘star chart' atau 'star map’ untuk pergerakan objek-objek di langit.

“Bintang berkelip disebabkan kedudukannya lebih jauh atau kecerahan bintang yang berbeza yang mana cahayanya sampai ke pemerhati di bumi merentasi jarak ribuan kilometer memasuki ruang udara berhampiran pemerhati menyebabkan biasan cahaya berlaku,” jelasnya. - Sinar Harian

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments