Sunday 22 January 2017

Polis ada 130,000 kakitangan, tak perlu guna pelakon Singapura

PETALING JAYA: Iklan pengrekrutan anggota polis, memaparkan seorang pelakon Singapura lengkap berpakaian seragam, yang tersebar di media sosial adalah palsu.

Ketua komunikasi korporat polis, Penolong Pesuruhjaya Kanan Datin Asmawati Ahmad mengesahkan perkara itu kepada FMT, dan berkata tidak masuk akal sekiranya polis Malaysia menggunakan pelakon Singapura dalam iklannya.

“Mengapa perlu guna pelakon kalau ada 130,000 kakitangan dalam pasukan polis,” katanya kepada FMT. Menurut Asmawati, polis sentiasa menggunakan anggota mereka dalam iklan seperti itu.

“Ikan pengrekrutan” palsu itu dimuatnaik di Facebook pada 16 Januari lepas, dikecam dan dikongsikan dalam kalangan warga Singapura sebelum sampai ke pengetahuan warga Malaysia.

Laman Mothership.sg, memetik laman Facebook “Jawatan Kosong Kerajaan”, mendakwa polis Malaysia menggunakan pelakon warga Singapura, Elvin Ng, dalam iklan pengrekrutan mereka.

Iklan palsu itu dikecam netizen, ramai mengatakan ia cuma cubaan melawak.

Asmawati berkata tindakan laman Singapura menyiarkan artikel itu tanpa mengesahkan fakta dengan pihak polis tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Sangat tidak bertanggungjawab. Mereka sepatutnya hubungi kami dan mengesahkan butiran sebelum menulis artikel itu.”

Beliau menepis iklan polis palsu itu sebagai lawak hambar dan berniat memburukkan nama polis Malaysia.

“Saya percaya orang ramai cukup bijak untuk sedar perbuatan itu satu lagi usaha untuk merendahkan pasukan polis.

“Rakyat boleh nampak ia lawak hambar dan palsu.”

Polis belum memulakan siasatan, tetapi sedang memantau iklan pengrekrutan palsu itu. - Free Malaysia Today

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments