Monday, 30 January 2017

Bot Hilang: 25 Selamat, 6 Masih Hilang

SANDAKAN – Seramai 25 mangsa bot pelancong yang karam di perairan berhampiran Pulau Mengalum Kota Kinabalu semalam ditemukan selamat di perairan Semarang, Labuan hari ini. 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata penemuan awal membabitkan dua mangsa menerusi operasi dan menyelamat membabitkan pesawat C130 Tentera Udara DiRaja Malaysia di kawasan perairan Semarang Labuan.

Bot itu membawa 31 orang. Katanya, 18 lagi mangsa dijumpai oleh bot nelayan dan lima mangsa dijumpai oleh bot tunda juga di perairan sama. 

“Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan enam lagi mangsa,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sandakan di sini, hari ini. 

Bot membawa 28 pelancong China, seorang tekong dan dua kru karam ketika dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju Pulau Mengalum petang semalam. 

Bot catamaran itu bertolak dari Jeti Tanjung Aru pada jam 9 pagi dan berikutan laporan kehilangan itu, operasi SAR telah diaktifkan pada jam 10.15 malam yang dikoordinasikan oleh Maritime Rescue Sub Coordinator (MRSC) Kota Kinabalu, meliputi kawasan pencarian 400 batu nautika persegi. 

Shahidan berkata operasi mencari dan menyelamat membabitkan aset kapal dan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin serta dua pesawat udara C130 TUDM dan AW139 APMM. 

Pada sidang media sama, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata lokasi penemuan mangsa di perairan Semarang terletak kira-kira 70 batu nautika dari Pulau Mengalum. 

Katanya berikutan penemuan 25 mangsa itu, operasi mencari dan menyelamat enam lagi mangsa ditumpukan di kawasan perairan Semarang. 

Beliau berkata faktor penting membawa penemuan mangsa bot karam itu adalah mereka menggunakan jaket keselamatan dan berada dalam kumpulan. 

Ahmad Puzi berterima kasih kepada bot nelayan dan bot tunda yang membantu menyelamatkan mangsa bot pelancong itu. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments