Saturday, 28 January 2017

RM5.5j pampasan kencing dalam baldi

Los Angeles: Mahkamah mengarahkan seorang bekas pelajar perempuan sekolah tinggi di California dibayar ganti rugi $1.25 juta (RM5.5 juta) kerana dipaksa membuang air kecil dalam baldi selepas dia di larang ke bilik air ketika sesi pembelajaran pada 2012. 

Dalam perbicaraan di mahkamah di San Diego semalam, keputusan juri menyebelahi bekas pelajar Sekolah Tinggi Patrick Henry yang pada awalnya menuntut AS$25,000. 

Bekas pelajar itu, yang ketika kejadian berusia 14 tahun, tidak dibenarkan ke bilik air oleh seorang guru yang mematuhi peraturan tegas sekolah. 

Dia sebaliknya disuruh membuang air dalam baldi di dalam ruang menyimpan barang di belakang kelas dan membuang air kencingnya ke dalam sinki. 

Dalam keterangannya sepanjang perbicaraan tiga minggu sebelum ini, remaja itu memberitahu kejadian itu amat memalukannya kerana menjadi mangsa gosip di sekolah serta menerima teks pesanan lucah daripada pelajar lain hingga menyebabkan dia cuba membunuh diri. 

“Sesuatu seperti ini tidak sepatutnya berlaku terhadap remaja perempuan 14 tahun yang baru memasuki sekolah tinggi,” kata peguamnya, Brian Watkins. 

Menurutnya, remaja itu yang kini berusia 18 tahun, masih menjalani terapi akibat kejadian itu. 

“Saya percaya keadilan ditegakkan dan pihak sekolah mengiktirafnya (keputusan mahkamah). “Mereka sudah menukar peraturan sekolah,” katanya. 

Pegawai pendidikan daerah yang memberi keterangan menegaskan guru wanita terbabit tidak berniat jahat, hanya melaksanakan peraturan sekolah. 

Guru itu yang dikatakan turut membuang air kecil dalam baldi berkenaan ketika bekerja lewat, diarah bercuti selepas kejadian namun dia tidak kembali mengajar. - Sayang Sabah

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments