SUNGAI PETANI – Seorang pesakit yang mendapatkan khidmat seorang lelaki berusia 40-an dipercayai bomoh dari Kampung Bukit Ayer Nasi, Semeling Februari lalu didakwa dipukau dan diperkosa ketika menerima rawatan.
Wanita berusia 31 tahun itu dikatakan datang berjumpa suspek bagi mendapatkan khidmat bomoh tersebut dengan ditemani suami kerana sering meracau akibat gangguan makhluk halus.
Difahamkan, bomoh terbabit telah memberikan amalan untuk diamalkan, bagaimanapun mangsa masih belum sembuh dan setiap kali ‘diganggu’ , mangsa akan terus ke rumah lelaki terbabit untuk mendapatkan rawatan.
Perkara itu kemudian berlarutan setiap minggu seolah-olah dipukau di mana setiap kali ‘sakit’, mangsa dan suami akan datang menemui bomoh terbabit.
Difahamkan sejak Mac lalu, di mana semasa sedang ‘dirawat’, mangsa telah mengikuti segala kemahuan lelaki terbabit, dalam masa sama, suspek telah merogol mangsa, dipercayai dalam keadaan separuh sedar.
Ia berlarutan sehingga beberapa bulan kemudian sehinggalah mangsa menyedari dirinya hamil tiga bulan.
Sejak itu, mangsa mulai sedar dan berhenti dari mengamalkan ayat yang diberikan bomoh terbabit sehinggalah selesai melalui tempoh bersalin dan berpantang.
Difahamkan, bomoh terbabit ada menghubungi mangsa dan meminta mereka datang ke tempat suspek selepas berpantang namun apabila enggan berbuat demikian, suspek telah mengugut akan melakukan sesuatu sekiranya tidak mengikuti arahannya.
Pada awal Januari 2017, rakan kepada suami mangsa dipercayai telah mengubati wanita terbabit dan memulihkan kembali semangat, dalam masa sama, mangsa mulai sedar sedikit demi sedikit kejadian yang berlaku dan hadir ke balai polis untuk membuat laporan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian
No comments:
Write comments