Monday 23 January 2017

Pendaftaran Larian Amal Kaamatan Tambunan 2017 dibuka

KOTA KINABALU- Pendaftaran Larian Amal Kaamatan Tambunan Edisi Ke-3 2017 yang akan berlansung pada 30 April tahun ini secara rasminya dibuka kepada orang ramai bermula hari ini (23 Januari 2017). 

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata orang ramai khususnya masyarakat daerah Tambunan dijemput menyertai program larian amal tersebut. 

“Tujuan program larian amal ini adalah amat baik… Program ini bukan sahaja bertujuan mengumpul dana tambahan, tetapi ia juga secara tidak lansung menunjukkan keindahan alam semula jadi di daerah Tambunan ini. 

“Para peserta juga akan semakin sihat dengan menghirup udara segar dan bersih di daerah ini,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar sempena Program Larian Amal Tambunan Kaamatan Edisi Ke-3 2017, dekat sini, hari ini. 

Menurut Pairin, penganjuran program tersebut perlu diteruskan pada masa akan datang. 

“Kedua-dua edisi yang lepas telah mendapat sambutan memberansangkan daripada penggemar aktiviti larian yang datang dari jauh dan berseronok pada masa sama,”katanya. 

Selain itu, Pairin berkata program larian amal sejauh 13.9 Kilometer (km) itu menyasarkan seramai 1,500 peserta dan kesemua pungutan dana melalui setiap penyertaan akan disumbangkan kepada beberapa badan pertubuhan di daerah tersebut. 

Diantaranya, Rumah Kanak-Kanak Bondulu di Toboh, Asrama La Salle Brothers Butitin di Nabawan dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Daerah Tambunan. 

Peserta yang ingin mengikuti aktiviti ini boleh mendaftar sebelum atau pada 3 April secara online melalui laman web Eventbrite dengan mencari Tambunan Kaamatan Charity Run 2017 atau secara manual di Likas Golf Driving Range. 

Sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan iaitu Kategori Men’s Open, Men’s Veteran, Boys Open, Women’s Open, Women’s Veteran, Girls Open dan VIP Fun Run sejauh 3.9 km. 

Yuran penyertaan bagi Kategori Terbuka adalah RM85.00 setiap seorang (bayaran normal) dan yuran bagi peserta yang mendaftar lewat adalah sebanyak RM 100 manakala yuran bagi Kategori Pelajar pula adalah sebanyak RM 55 setiap seorang. 

Setiap peserta akan mendapat sehelai baju T-Shirt dan pingat (medal) bagi setiap penyertaan. 

Pemenang tempat pertama (bagi kategori terbuka dan veteran) akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 1,000 dan trofi manakala pemenang bagi kategori pelajar akan membawa balik wang tunai sejumlah RM 500 beserta trofi. 

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi talian 088-212268 atau 012-8330705. Hadir sama, Pegawai Daerah Tambunan, Thomas Logijin dan Pengerusi Penganjur Program Larian Amal Tambunan Edisi Ke-3 2017, Patrisha Kitingan. - Sayang Sabah

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments