KOTA KINABALU - Kumpulan pertama mangsa bot karam jenis katamaran yang turut membabitkan pelancong warga China ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum Sabtu lalu, tiba di sini awal pagi ini.
Dua puluh mangsa bersama-sama tiga yang terkorban dalam tragedi itu, tiba di jeti itu menaiki bot nelayan, diiringi kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bot polis marin.
Namun tidak dapat dipastikan sama ada seorang anak kapal katamaran itu antara 20 yang terselamat atau yang terkorban.
Bot nelayan itu berlabuh di jeti Pasukan Polis Marin, di sini pada kira-kira 1.45 pagi.
Turut kelihatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah Datuk Pang Yuk Ming, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar, Konsul Jeneral China di Sabah, Chen Peijie dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai.
Anggota polis dan pasukan perubatan terus memberi bantuan perubatan kepada kesemua mangsa sebaik mereka tiba di jeti, sebelum menghantar mereka ke Hospital Queen Elizabeth di sini.
Dalam tempoh 10 minit, kebanyakan mangsa yang boleh berjalan, dilihat memasuki dua van, manakala selebihnya dibawa ke hospital menaiki ambulans iaitu ambulans pertama meninggalkan jeti itu pada 1.59 pagi.
Suasana di sekitar jeti itu turut menarik perhatian orang ramai untuk melihat kecekapan pihak berkuasa bertugas menyelamatkan mangsa bot karam.
Oleh kerana kawalan keselamatan yang ketat di pintu masuk jeti, orang ramai serta warga tempatan dan media antarabangsa, hanya dapat melihat dari pusat membeli-belah dan kawasan projek pembinaan berhampiran iaitu antara 15 dan 20 meter jaraknya.
Sementara itu, Shahidan ketika ditemui di pintu masuk jeti berkenaan berkata mayat mangsa dibawa ke hospital dan bedah siasat akan dijalankan.
"Kami akan memastikan kesemua mangsa mendapat perhatian sepenuhnya dan akan memberi mereka masa untuk pulih daripada trauma sebelum merekodkan keterangan mereka mengenai insiden itu," kata menteri itu.
Bot pelancong itu membawa tiga kru dan 28 pelancong dari China, dipercayai karam berikutan cuaca buruk dan laut bergelora pada 10 pagi Sabtu (28 Jan), sejam selepas bot itu bertolak dari Jeti Tanjung Aru di sini ke Pulau Mengalum, lokasi tarikan pelancong kira-kira 56km barat laut Kota Kinabalu.
Kira-kira 3.30 petang semalam, polis menerima maklumat dua kru bot itu diselamatkan di Semarang, berhampiran Labuan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu untuk merekodkan kenyataan mereka.
Pada 6 petang, polis menerima maklumat 20 mangsa bot karam itu diselamatkan oleh bot nelayan juga di Semarang dan tiga mangsa terkorban dalam tragedi berkenaan.
Enam lagi mangsa masih hilang, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan. - BERNAMA
No comments:
Write comments