Monday, 30 January 2017

Jual Harta Sertai Militan Daish

Jakarta: Seorang bekas pegawai di Kementerian Kewangan Indonesia dilaporkan menjual semua hartanya bagi membiayai perjalanan dia dan keluarganya ke Syria untuk menyertai kumpulan militan Daish.

Lelaki itu bersama isteri dan tiga anak mereka ditahan di lapangan terbang Bali Selasa lalu selepas diusir dari Turki kerana cuba masuk ke Syria.

Jurucakap polis Indonesia, Martinus Sitompul semalam berkata, bekas penjawat awam itu dikenali sebagai, Triyono Utomo Abdul Sakti.

Menurutnya, Triyono, 40, dipercayai terpengaruh untuk menyertai kumpulan Daish kerana dia dan keluarganya mahu tinggal di negara yang mengamalkan undang-undang Islam.

“Keluarga ini termasuk tiga kanak-kanak berusia 13, lapan dan enam tahun merancang masuk ke Syria melalui Turki.

“Mereka sering bergerak dari satu tempat ke satu tempat di Turki sebelum ditahan bersama 20 lagi individu pada 16 Januari lalu,” katanya.

Menurutnya, keluarga itu ditahan selama tujuh hari untuk disoal siasat oleh unit antipengganas polis Indonesia.

Triyono dilaporkan meletak jawatan di kementerian itu pada Februari 2016 sebelum menjual semua hartanya.

Keluarga yang tinggal di Jakarta Utara itu kemudian berlepas ke Thailand pada pertengahan Ogos lalu dan menyambung perjalanan ke Turki dengan bantuan orang tengah.

Media Indonesia melaporkan, Triyono adalah pemegang ijazah sarjana dari sebuah universiti di Australia.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan mengesahkan bekas pegawainya adalah individu yang ditahan di lapangan terbang di Bali itu.

Kata kenyataan itu, bekas pegawai itu memegang jawatan rendah dan meletak jawatan kerana mahu menubuhkan sebuah sekolah agama di pinggir Jakarta.

“Tiada bantuan guaman disediakan untuk bekas pegawai itu,” menurut kenyataan berkenaan. - Mymetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments