KOTA KINABALU: Spekulasi bertiup kencang mengenai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman merancang untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal dan bukannya diadakan semasa Pilihan Raya Umum ke-14, yang seharusnya diadakan selewat-lewatnya tahun depan.
"Semuanya berkemungkinan," kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan secara berseloroh ketika ditanya mengenai spekulasi politik yang sedang diperkatakan mengenai Sabah akan mengadakan pilihan raya lebih awal, sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini.
"Semuanya... spekulasi, yang menjadikan ia menarik tetapi semua pihak diberitahu untuk bersiap sedia," kata Pairin, yang bakal bersara dari dunia politik akhir penggal ini.
Beliau berkata demikian bagi merujuk kenyataan Musa baru-baru ini supaya para pemimpin turun padang dan "bekerja seperti seolah-olah pilihan raya diadakan setiap hari".
Cakap-cakap politik di negeri itu adalah mengenai Musa berhasrat untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal berikutan Barisan Nasional (BN) Sabah yakin untuk memenangi lebih banyak kerusi sekiranya ia tidak ditenggelamkan oleh isu-isu nasional yang membolehkan pembangkang di peringkat pusat melancarkan serangan sebagaimana yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu pada 2013.
Beberapa kumpulan politik mendakwa pilihan raya boleh berlaku seawal April sekiranya BN tidak merancang untuk menggunakan tambahan 13 kerusi baharu yang disyorkan pada tahun lepas dan dijangka dibentangkan Parlimen pada Mac.
Sabah ketika ini mempunyai 60 kerusi.
Bercakap kepada pemberita di sini, Isnin, Pairin yang merupakan Ahli Parlimen Keningau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan berkata, beliau sendiri "begitu pasti 99 peratus" tidak akan bertanding selepas beliau pada awal bulan ini menyerahkan teraju kepimpinannya sebagai presiden Parti Bersatu Sabah kepada timbalannya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang memangku jawatan tersebut.
"Saya mahu memberi peluang kepada orang muda. Lambat laun, setiap orang perlu bersara dan saya perlu memberi notis terlebih dahulu," kata ahli politik veteran Sabah itu yang tidak pernah tewas dalam pilihan raya sejak beliau mula bertanding untuk kerusi Tambunan pada 1976.
Beliau berkata, semuanya akan diaturkan bagi sesiapa yang akan menggantikan beliau di dua kerusi yang disandangnya.
"Saya tidak tahu apakah rancangan saya seterusnya, sama ada saya akan kembali ke universiti, tanam padi atau bela kerbau... tetapi saya pastinya akan menghabiskan masa bersama cucu," ujar Pairin. - Mstar
No comments:
Write comments