PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuka ruang seluas-luasnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas ahli politik yang disyaki terlibat dengan rasuah.
Malah, tegas Naib Presiden UMNO itu, ruang dan peluang siasatan turut diberikan ke atas mana-mana ahli perniagaan, atau mereka yang berjawatan.
"Saya fikir SPRM bukan hanya diperundangkan tetapi mempunyai kuasa mutlak untuk memburu siapa sahaja termasuk ahli politik, ahli perniagaan atau pemegang-pemegang jawatan.
"Saya secara rasmi memberikan ruang yang sepenuhnya untuk SPRM bukan sekadar menyiasat, tetapi menggeledah semua maklumat diperolehi," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat RELA kepada Ahli Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad semasa menjadi tetamu Hari Ini 8 berkata , pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas ahli politik yang korup, tidak kira di peringkat bawah mahupun tinggi.
Pada masa sama, tegas Ahmad Zahid, agensi penguatkuasa itu ada kuasa untuk melakukan penggeledahan bagi mendapatkan bukti dan maklumat yang diperlukan.
Bagaimanapun beliau juga berharap SPRM melakukan siasatan dengan berkesan dalam menghadapi cabaran media sosial hari ini.
"Namun harus diperbandingkan antara fitnah dalam media sosial dengan realiti. Jadi untuk menghadapi realiti itu, SPRM harus bertindak segera untuk melakukan penyiasatan dan penggeledahan terhadap semua pertuduhan itu apatah lagi ia melibatkan pemegang jawatan di mana-mana kementerian atau jabatan," kata beliau.
Tambahnya lagi, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM juga mempunyai kuasa atau waran untuk melakukan penggeledahan ke atas premis atau kediaman suspek bagi mendapatkan maklumat siasatan.
"Mereka (SPRM) pun ada kuasa (waran) juga (untuk menggeledah) ," ujarnya. - Astroawani
No comments:
Write comments