Sunday, 29 January 2017

Kpl Shahrudin Tidak Sangka Bantuannya Jadi Viral

KOTA KINABALU, 28 Jan (Bernama) -- Koperal Shahrudin Siampak tidak menyangka pertolongan ikhlasnya terhadap suami isteri yang berkejar ke hospital bagi menyambut kelahiran anak mereka yang tular di media sosial mendapat perhatian netizen termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya hatinya tergerak untuk memberi bantuan selepas menyedari kenderaan pasangan suami isteri itu memberikan isyarat kecemasan ekoran keadaan trafik ketika itu sesak kerana waktu puncak.

"Saya merapatkan motosikal saya dengan kereta itu dan bertanya kepada pemandu kenapa seperti tergesa-gesa. Pada ketika itu juga saya melihat isterinya sedang menahan kesakitan (untuk bersalin).

"Saya kemudiannya memberi bantuan apa yang saya mampu ketika itu iaitu memastikan kenderaan mereka diberi laluan oleh kenderaan lain agar perjalanan ke hospital berhampiran adalah lancar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kisah Shahrudin yang membantu pasangan itu pada 23 Jan lepas menjadi tular selepas dikongsikan oleh pengguna Facebook dengan nama Aziz Azizudin, yang turut dikongsikan Hishammuddin selain lebih 2,000 pengguna Facebook.

Dalam postingnya semalam, Hishammuddin berkata rasa tanggungjawab dan sifat keprihatinan Shahrudin wajar menjadi contoh dan inspirasi kepada semua pihak khususnya anggota tentera.

"Beliau (Koperal Shahrudin) telah buktikan dalam apa jua situasi, tentera dan rakyat sentiasa bersama," katanya.

Shahrudin, 31, yang bertugas di Kem Lok Kawi, dekat sini, berkata beliau tidak pernah terfikir bantuannya itu menjadi tumpuan netizen kerana baginya ia perkara biasa kerana kerjayanya melatih supaya membantu individu yang dalam kesusahan.

"Tidak semestinya kami hanya ditugaskan untuk ke medan perang sahaja, tetapi kami juga dilatih untuk memberi bantuan kepada yang memerlukan pertolongan,' katanya yang sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang anak perempuan berumur dua tahun. - Bernama

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments