HASRAT remaja berusia 16 tahun, Selamat Riyadi untuk membawa isterinya, Rohaya berbulan madu di Jakarta akhirnya tercapai selepas mereka dijemput menghadiri satu program bual bicara.
Selamat dan pasangannya yang berusia 71 tahun itu mencetuskan fenomena apabila berita perkahwinan mereka tersebar di media sosial baru-baru ini.
Perkahwinan pasangan itu yang berbeza umur 55 tahun menjadikan mereka tumpuan media sehingga mendapat gelaran ‘pasangan fenomena’.
Kelmarin, pasangan itu berlepas ke Jakarta selepas dijemput stesen televisyen tempatan Trans7 untuk menghadiri satu program bual bicara.
Selamat yang ditemui sebelum berlepas ke Jakarta berkata, dia gementar kerana kali pertama menaiki kapal terbang tetapi gembira kerana hasratnya membawa isterinya berbulan madu di Jakarta akhirnya tercapai.
“Sebelum berkahwin memang saya berhasrat mahu membawa isteri berjalan melihat Tugu Monas (Monumen Nasional).
“Kalau ada kesempatan pasti saya bawa ke sana nanti,” katanya yang dipetik Bangka Pos.
Ketika tiba di lapangan terbang, pasangan itu juga dikerumuni orang ramai yang mahu bergambar dengan mereka.
Selamat kelihatan kurang selesa dengan tumpuan orang ramai tetapi Rohaya teruja bersalam dan bergambar dengan pengunjung di lapangan terbang. – Agensi/myMetro Online
No comments:
Write comments