14 OGOS ini telah diumumkan sebagai tarikh penyatuan dua hati di antara anakanda Sultan Johor, Tunku Tun Aminah dengan pasangannya, Dennis Muhammad Abdullah.
Menurut Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, istiadat perkahwinan pasangan pengantin diraja akan dilaksanakan dengan penuh adat istiadat Melayu dan budaya Istana Johor.
Bakal suami Tunku Tun Aminah, Dennis Muhammad atau nama asalnya Dennis Verbaas dilahirkan pada 1 Mei 1989 di Lisse, sebuah bandar berdekatan Amsterdam, Belanda dan merupakan anak kedua daripada tiga beradik.
Menurut sumber, bakal suami Tunku Tun Aminah merupakan seorang bekas model di negara kelahirannya sebelum memulakan kerjaya di Malaysia.
Dennis sebelum ini pernah bekerja dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sebagai Pengurus JDT Concept Store and Cafe dan selepas itu sebagai Pengurus Pemasaran Kelab Bola Sepak Tampines Rovers Singapura.
Dennis memeluk Islam pada 31 Mei 2015 di Pejabat Kadi Johor Bahru dan dipimpin oleh pegawai agama bagi mempelajari Islam termasuk solat, berpuasa, pengajian al-Quran, akhlak dan tulisan jawi selain dididik dalam Bahasa Melayu, budaya, etika serta protokol istana. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments