BUKAN sahaja menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penduduk, malah cuba menjadikan kawasan penempatan di sebuah flat kediaman di Ipoh, Perak bak kepunyaan mereka sendiri.
Itu yang dapat digambarkan melalui satu rakaman tular memaparkan sekumpulan penduduk warga asing yang mabuk berpesta di tingkat dua Flat Anjung Tawas, dalam kejadian 15 April lalu.
Menerusi rakaman, dapat dilihat warga-warga asing berkenaan menari ‘sakan’ sambil membuat bising di ruang legar rumah pangsa awam kos rendah tersebut.
“Tengok time camni time maghrib 7.30 malam. Tengoklah, (nanti) ada pula yang kata rasislah, tapi hormatlah sikit. Ini Flat Anjung Tawas.
“Agak-agak korang kalau nak balik rumah macam mana? Ada yang mabuk, minum (arak) semua ada di situ. Ok nilailah sendiri ya. Dalam ini yang ada Myanmar dan Vietnam.
“Bila ada warga (asing) macam ini, saudara mara nak datang rumah pun takut. Ini belum masuk (ke dalam kawasan flat) lagi, rakam dari luar dah kuat dah (bunyi muziknya),” ujar wanita yang merakam video tersebut.
Tidak setakat malam, warga-warga asing ini juga turut dikatakan membuat bising dikala siang ketika penduduk keluar bekerja.
Rata-rata netizen bimbang jika warga asing ini semakin bermaharajalela yang kemudiannya akan mengganggu anak-anak gadis atau isteri penduduk di flat berkenaan.
Namun, ada segelintir netizen memaklumkan, hanya ada enam buah keluarga warga tempatan yang tinggal di flat berkenaan dan meminta orang ramai yang membiarkan warga asing berkenaan melakukan aktiviti mereka atas alasan majoriti penghuni di flat tersebut tidak ambil pusing.
Merujuk perkara ini, polis telah mengambil tindakan pantas dengan memberikan amaran kepada majikan yang memberikan penempatan kepada warga-warga asing berkenaan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Abdul Rani Alias, pihak pengurusan kilang kepada warga asing itu diberi amaran supaya memastikan perkara tersebut tidak lagi berulang demi menjaga kenteraman penduduk flat berkenaan.
“Kita telah menerima laporan polis mengenai pesta berkenaan dan pihak polis dari balai Kampung Tawas telah pergi menghentikan kejadian itu.
“Pihak pengurusan kilang tempat pekerja asing itu juga dah diberi amaran untuk tidak berulang lagi,” katanya dipetik portal Suara Perak.
Abdul Rani turut mengingatkan orang ramai supaya tidak gusar untuk melakukan laporan polis sekiranya terdapat kejadian yang menggangu kenteraman awam.
“Jika kejadian seperti ini berlaku lagi saya minta penduduk atau masyarakat awam cepat-cepat laporkan kepada kami melalui talian hotline, kita akan datang segera ambil tindakan,” tambahnya. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments