Beijing: Seorang bapa muda menghabiskan sebahagian besar masanya sejak beberapa minggu lalu di sebuah stesen kereta api bawah tanah di Chengdu dengan memakai seperti Pikachu.
Dia bertindak demikian kerana mahu mengumpul wang bagi membayar kos rawatan anaknya berusia setahun yang menghidap leukemia.
Menurut Liu Yuehu, doktor memberi harapan 70 peratus kepada anaknya Yu Yan untuk pulih tetapi dengan kos yang tinggi.
Walaupun diingatkan bil perubatan itu boleh mencecah ratusan ribu yuan, Liu tidak mahu putus asa.
Lelaki berusia 24 tahun itu yang bekerja sebagai buruh binaan terpaksa berhenti kerja kerana dia hanya akan memperoleh gajinya pada hujung tahun sedangkan dia amat memerlukan wang itu segera.
Dia sudahpun membelanjakan 160,000 yuan (RM102,000) dan meminjam banyak lagi daripada rakan dan anggota keluarga. Bil anaknya mencecah 3,000 yuan (RM1,920) sehari.
Dia akhirnya mengambil keputusan membeli kostum Pikachu awal bulan ini dan sejak itu dia sentiasa berada di stesen kereta api bawah tanah dengan memakai kostum berkenaan.
Liu turut membawa bersamanya kadbod yang tertulis tujuannya berbuat demikian – mengumpul wang untuk anaknya yang sakit. Turut dipamerkan ialah beberapa dokumen perubatan sebagai membuktikan masalahnya.
Dia tidak pernah menetapkan jumlah wang kepada mereka yang ingin bergambar bersamanya. Dia terima apa sahaja yang mereka berikan.
Sejak mula bertindak demikian tiga minggu lalu, Liu berkata, dia berjaya mengumpukan 13,000 yuan (RM8,300).
Di China, ramai anggota keluarga berdepan masalah seperti Liu. Dengan wang yang tidak mencukupi untuk menanggung kos perubatan yang tinggi, mereka terpaksa menjual bunga.
Ada juga yang menawarkan pelukan untuk memungut derma. Dan yang paling menyedihkan, ada yang terpaksa menawarkan khidmat seks. – Agensi/HMetro
No comments:
Write comments