BEIJING: Seorang pemandu mabuk di timur China mula makan rumput di tepi jalan dalam cubaan peliknya untuk melepasi ujian pernafasan polis, menurut laporan media tempatan.
Lelaki itu disoal siasat oleh polis trafik di Yiwu, wilayah Zhejiang pada malam Isnin apabila mereka melihat sebuah kereta Mercedes ditinggalkan pada jarak kira-kira 80 meter dari sekatan jalan raya, lapor stesen televisyen CZTV.
Pemandu berkenaan meninggalkan keretanya, tetapi telah ditangkap oleh polis yang menghidu bau kuat alkohol dan memintanya melakukan ujian nafas.
Lelaki itu berulang kali menafikan mengambil alkohol, malah tidak mengaku memandu kereta tersebut.
Menyedari dia tidak mempunyai cara lain untuk melarikan diri daripada polis, lelaki itu membuat percubaan terakhir untuk membuatkan dirinya tidak mabuk dengan maragut rumput di tepi jalan sebelum cuba mengunyahnya, kata laporan itu.
"Pemandu mungkin mahu untuk mengubah tahap alkohol dalam darah dengan makan rumput," kata polis kepada media selepas kejadian itu.
"Kami minta dia berhenti makan rumput. Dia tak mahu mendengarnya. Nampak seperti ada yang ditelan dan ada yang diludah keluar," katanya.
Lelaki itu terpaksa dibawa ke hospital untuk ujian darah, di mana ujiannya gagal, menurut laporan itu.
Tindakan pemandu itu menjadi viral di internet, dengan pengguna media sosial mengejek kelakuannya.
"Zodiak lelaki ini barangkali lembu," tulis seorang pengguna internet. - South China Morning Post
No comments:
Write comments