KOTA KINABALU – Gara-gara mahu mengambil beg dompet yang terjatuh ke dalam longkang, seorang pelajar tingkatan tiga menderita seumur hidup apabila kehilangan dua jarinya.
Insiden ngeri itu berlaku selepas mangsa dihempap besi penutup longkang di Taman Nelly, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Kolombong, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang berusia 15 tahun meminta bantuan rakannya untuk membuka penutup longkang lalu dia mengambil dompetnya.
Namun, besi penutup longkang itu terjatuh lalu menghempap jari kelingking dan telunjuk terputus.
Media tempatan melaporkan, pemangku Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat, Mohd. Zulfadli Usman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.56 petang daripada orang awam.
Laporan awal yang diterima menyatakan terdapat insiden tangan seorang remaja lelaki tersepit di besi penutup longkang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa sudah dihantar oleh orang awam ke Hospital Queen Elizabeth 2 dan anggota bomba kemudian mengutip jari berkenaan dan menyerahkan kepada kakitangan ambulans.
“Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan mengambil dompet miliknya yang terjatuh sebelum penutup besi longkang itu menghempap jarinya,” kata Mohd. Zulfadli.
Difahamkan, jari tersebut tidak dapat disambungkan semula. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments