Friday, 21 April 2017

Kes Benjy Ditangkap Di Indonesia Calar Industri Seni


PELAKON Benjy sekali lagi menjadi tumpuan rakyat Malaysia, apabila dikejutkan dengan berita penahanannya di Medan, Indonesia berikutan penemuan dadah jenis syabu di duburnya.

Berita ini turut menarik perhatian Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) yang menyifatkan Benjy atau nama sebenarnya Khaeryl Benjamin itu telah mencalar reputasi industri hiburan tempatan.

Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya tidak dapat membantu dalam kes Benjy ini kerana ia jelas membabitkan undang-undnag di negara asing.

“Saya terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan mengenai perkara ini. Difahamkan, ia bukan kali pertama Benjy dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.

“Sebagai persatuan, tidak banyak yang kami boleh bantu kerana ia membabitkan undang-undang negara luar. Dalam hal ini, keluargalah yang seharusnya berikan sokongan dan menghulurkan bantuan kepada pelakon terbabit.

“Ini kerana mereka lebih berhak. KARYAWAN pula memang tidak mempunyai kuasa untuk ke sana kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kami,” katanya kepada BH Online.

Pada masa yang sama, Freddie berharap penahanan Benjy juga menjadi pengajaran buat artis tempatan.

Mengikut rekod, Benjy ditahan Selasa lalu selepas pihak polis Indonesia menjumpai dua bungkus nartkotik jenis syabu seberat 14 gram di dalam duburnya.

Ketika itu, dia baharu sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan, wilayah Sumatera Utara setelah berlepas dari Kuala Lumpur.

Benjy sebelum ini pernah ditahan di Malaysia sebanyak empat kali pada tahun 2015 berkenaan isu dadah. Dia merupakan anak tunggal pelakon dramatis terkenal, Allahyarham Azean Irdawaty. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments