Friday, 21 April 2017

Malaysia Book of Records Iktiraf Kejayaan Azizulhasni


JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang hari ini menerima dua pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) selepas memahat sejarah sebagai pelumba pertama negara memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik dan menjuarai Kejohanan Dunia Trek, masing-masing menerusi acara keirin.

Pengasas MBOR, Tan Sri Danny Ooi berkata, pihaknya telah memperakui raja keirin dunia berusia 29 tahun itu menerusi dua sijil pencapaian, sekali gus dapat memberikan inspirasi kepada pelapis sukan berbasikal negara.

“Selepas 10 tahun mencuba, Azizulhasni akhirnya berjaya membuktikan kehebatannya di mata dunia dengan mengalahkan lawannya dalam Kejohanan Dunia di Hong Kong pada 13 April lalu dengan catatan masa 10.253.

“Selain itu, dia juga merupakan pelumba pertama negara yang berjaya meraih gangsa dalam temasya Olimpik di Rio de Janeiro, tahun lepas,” katanya selepas menyampaikan sijil pengiktirafan tersebut kepada Azizulhasni di Pejabat MBOR, di ibu negara.

Hadir sama pada majlis penyampaian itu, Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab dan Naib Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill.

Sebelum ini, MBOR pernah mengiktiraf pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu sebagai pelumba pertama negara merangkul perak dalam Kejohanan Dunia yang berlangsung di Poland pada 2009.

“Terima kasih di atas pengiktirafan rekod daripada MBOR dan saya sungguh berbangga apabila nama saya dicatatkan kerana ia satu sejarah untuk rakyat Malaysia di luar sana bagi melihat rekod menerusi buku ini.

“Saya harap ia dapat menjadi pembakar semangat dan pendorong kepada atlet lain untuk capai kejayaan yang sama,” kata pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments