Tuesday, 25 April 2017

Gadis dibenar bertinju dengan tutup aurat


Minneapolis: Seorang peninju remaja perempuan Islam yang berharap suatu hari nanti dapat bertanding di Sukan Olimpik berjaya dalam usahanya untuk berpakaian menutup aurat dalam perlawanan di Amerika Syarikat. 

Amaiya Zafar akan dibenarkan menutup rambut, kaki dan lengannya selaras dengan suruhan agamanya pada perlawanan rasminya yang pertama di Minneapolis, menurut laporan The Star Tribune.

Persatuan tinju Amerika Syarikat biasanya mensyaratkan peninju memakai jersi tanpa lengan dan seluar pendek. Bagaimanapun, bagi kes Amaiya, dia diberikan pengecualian.

“Ini langkah besar baginya. Dia sudah berusaha bersungguh-sungguh. Dia berhak untuk menunjukkan kemampuannya. Saya juga gembira dengan keputusan itu. Langkah seterusnya ialah untuk dia mencapai impiannya,” kata jurulatih Amaiya, Nathaniel Haiel. 

Amaiya, 16, yang berasal dari Oakdale, pinggir bandar Minneapolis, sebelum ini dilarang bertanding di Florida selepas pegawai berkata, dia tidak boleh memakai ‘legging’, jersi lengan panjang dan menutup rambutnya.

Mengulas mengenai keputusan terbaru itu, Amaiya berkata, dia amat teruja dan kini sudah bersedia untuk meneruskan impiannya. 

Gadis itu berkata, matlamatnya ialah untuk menyertai Sukan Olimpik 2020 yang akan diadakan di Tokyo. 

Bagaimanapun, dia kini perlu mendapat kelulusan pertubuhan tinju antarabangsa (AIBA) sebelum dibenarkan berbuat demikian. – Agensi/HMetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments