KOTA BHARU: Seorang kerani bank terkejut selepas cermin hadapan kereta Perodua Viva miliknya retak terkena peluru sesat di kediamannya di Kampung Telok Panji di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi tadi itu, mangsa Hasliza Ali, 43, menyedari cermin hadapan keretanya terdapat kesan tembakan ketika mahu menghantar anak ke sekolah.
Katanya, sejurus itu dia menghubungi suaminya, Rosli Mail, 43, yang bekerja sebagai polis bantuan di sebuah bank di bandar.
"Saya kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada jam 9 pagi tadi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hasliza berkata, beliau tidak mengesan sebarang bunyi dan tidak menyedari bila kejadian itu berlaku.
"Mungkin kejadian itu berlaku pada tengah malam semalam tetapi saya tidak menyedarinya kerana tiada sebarang bunyi yang kuat di perkarangan rumah.
"Sekarang ini saya mulai rasa bimbang, takut perkara ini berulang dan berharap kes dapat diselesaikan dan mengetahui punca sebenar,' katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Polis percaya peluru berkenaan adalah peluru sesat dari tempat lain sebelum jatuh ke tempat kejadian," katanya. - BH Online
No comments:
Write comments