Wednesday, 26 April 2017

Lelaki Mengamuk Di Stesen Minyak Jadi Bahan Tontonan


SEBUAH rakaman video memaparkan seorang lelaki tengah mengamuk di sebuah stesen minyak dipercayai di Pandan, Kuala Lumpur menjadi tular menerusi media sosial tempatan.

Ini bukan kerana gelagat lelaki tersebut tetapi tindakan orang ramai yang kebetulan di sekitar tempat kejadian.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook, jelas kelihatan keadaan stesen minyak tersebut dipenuhi orang ramai yang melihat seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental membuat bising di luar premis tersebut.

Pada awal video tersebut, kelihatan barang dipercayai makanan bersepah di atas lantai dan seorang lelaki tidak berbaju keluar dari kedai di stesen minyak itu berjalan ke arah pam minyak.

Lelaki itu kemudiannya mengambil pam minyak dan mengacukan ke kepalanya sebelum membaling pam tersebut.

Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut membaling alat pemadam api ke arah pam minyak dan baring di atas lantai sambil bercakap sesuatu.


Percakapan lelaki tersebut tidak dapat didengari dengan jelas namun kedengaran perkataan bunuh sebelum lelaki itu menjerit.

Keadaan semakin ‘getir’ apabila lelaki itu membuka alat pemadam api dan menyemburnya sebelum kembali ke hadapan kedai dan baring semula.

Video tersebut tamat apabila individu yang merakam kejadian meninggalkan lokasi tersebut.

Jelas kelihatan, orang ramai meneruskan aktiviti mereka mengisi minyak seperti biasa dan ada segelintir hanya melihat gelagat lelaki tersebut tanpa berbuat sebarang tindakan.

Turut kedengaran suara individu supaya menghubungi pihak polis untuk tindakan.

Perkongsian video tersebut mendapat kritikan netizen apabila kecewa dengan orang ramai yang berada di lokasi kerana tidak mengambil tindakan terhadap lelaki tersebut.

“Merakam lagi penting daripada nak berhentikan dia mengamuk…tahniah rakyat Malaysia,” tulis Azrul Asmuni.

“Yang brother ramai-ramai tengok jee ape kes ? Orang gile sorang tak kan tak lehsettle .. Aduih tangkap laa ramai-ramai ikat kasi diam,” tulis Azira Norman.

Bagaimanapun, tidak dijelaskan mengenai waktu dan sebab kejadian serta tidak diketahui nasib lelaki tersebut. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments