SEDIH dengan penglibatan pelajar khasnya kaum India dalam kes jenayah terancang, Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS) menggesa hukuman rotan secara terbuka diamalkan semula.
Setiausaha Agungnya, S. Barathidasan menerusi kenyataan media berkata, cadangan dikembalikan kuasa merotan pelajar oleh guru ketika perhimpunan mingguan sekolah antara jalan penyelesaian terbaik membentuk disiplin.
“Seperti era 1970-an dan 1980-an, pelajar waktu itu takut melakukan kesalahan kerana malu dirotan di hadapan rakan-rakan semasa perhimpunan. Ia dapat mengawal kes salah laku dan masalah sosial dalam kalangan pelajar.
Cadangan ini bukanlah sekadar hukuman semata-mata, tetapi untuk mendidik dan memupuk kesedaran diri anak-anak seperti pepatah Melayu, jika hendak melentur buluh biarlah bermula daripada rebungnya,” kata Barathidasan.
Pemimpin badan bukan kerajaan yang mewakili masyarakat India itu mengulas penahaan seramai 13 pelajardari empat buah sekolah menengah di Klang kerana disyaki menyertai kumpulan kongsi gelap, Geng 24 pada Jumaat.
Mereka dicekup Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) susulan penyebaran rakaman tular video aksi liar kumpulan itu di hadapan sebuah sekolah sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat sendiri.
Mengulas lanjut, Barathidasan turut menyarankan setiap sekolah dapat membentuk pasukan petugas khas untuk menangani gejala gangsterisme yang disertai pelajar dengan penglibatan bersama ibu bapa dan orang ramai.
“Kalau generasi muda pelajar itu sendiri sudah lemah, tidak bersemangat apatah lagi terjebak dengan masalah sosial serius seperti samseng sekolah, maka rosaklah masa depan negara kita,” ujarnya. – Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments