IPOH ― Meskipun pihak MCA Bahagian Taiping sudah memohon maaf secara terbuka, polis tetap menjalankan siasatan terhadap kes kain rentang yang dieja ‘perbatalan’ Yang di-Pertuan Agong.
Kain rentang berlatar belakang warna kuning sempena hari pertabalan Sultan Muhammad V yang dipasang di bangunan MCA bahagian itu menjadi tular baru-baru ini ekoran kesilapan ejaan daripada sepatutnya ‘pertabalan’.
Polis Perak berkata, walaupun pemilik kain rentang itu telah pun menukar perkataan silap tersebut, pihaknya tetap meneruskan siasatan, lapor agensi berita tempatan Bernama.
“Siasatan tersebut ialah bagi mengenal pasti sama ada maksud bagi perkataan itu memang disengajakan atau pun tidak,” kata pemangku ketua polis negeri, Datuk Hasnan Hassan.
Beliau malahan menjelaskan bahawa: “Sekiranya ia adalah disengajakan, kes ini adalah amat serius kerana ia boleh menyebabkan keselamatan anggota masyarakat terancam.”
Isnin lalu, pihak MCA Taiping memohon maaf atas kesilapan ejaan pada kain rentang ucapan sembah tahniah sempena pertabalan baginda, lapor portal Harian Metro.
Ketuanya, Ang Sui Eng dilaporkan turut mengakui kesilapan ejaan perkataan “pertabalan” pada kain rentang terbabit dan sehera menggantikan kain baharu kelmarin.
Tambahnya, kain rentang tersebut sudah dipasang selama seminggu tanpa mereka menyedari adanya kesilapan tersebut ― di bahagian bawah yang saiz hurufnya lebih kecil.
“Kesilapan itu hanya disedari 9 pagi [Isnin] dan kami terus menghubungi pihak yang buat kain rentang itu untuk turun dan ganti dengan yang baru serta tiada kesilapan,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments