Akibat masalah hutang, seorang lelaki parah di lengan kirinya selain di kepala dan kaki selepas ditetak seorang lelaki lain dalam satu kejadian di Butterworth petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Azmi Adam memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika suspek yang berusia 50 tahun datang ke rumah mangsa berhubung masalah hutang.
“Bagaimanapun berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa yang berusia 45 tahun itu sebelum suspek bertindak ganas dengan memukul mangsa termasuk menetak lengan kiri mangsa menggunakan sebilah golok sehingga hampir putus.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya pada sebuah portal berita, Jumaat.
Menurut Azmi, suspek ditahan pada hari kejadian di sekitar kawasan Butterworth bagi membantu siasatan selepas pihaknya menerima laporan daripada adik mangsa.
Difahamkan akibat kejadian itu, tangan kiri mangsa tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong.
Suspek berkenaan disiasat berikutan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata. - BNBBC
No comments:
Write comments