Saturday 15 April 2017

Nenek Dibunuh Ketika Solat Guna Kuali


Seorang wanita warga emas meninggal dunia dipercayai dibunuh ketika khusyuk mengerjakan solat di kerusi di ruang tamu rumahnya di Kampung Belukar Jambu, di sini, jam 2.15 petang semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Rokiah A Rahman, 83, yang uzur, bersendirian dalam rumah berkenaan yang dihuni bersama anaknya, Saripah Ibrahim, 52. Mangsa dipercayai dipukul dengan kuali oleh seorang wanita, yang juga jiran sekampung.

Selain jiran, difahamkan suspek yang berusia 37 tahun juga adalah rakan sekerja anak perempuan mangsa. Suspek tidak bekerja ketika kejadian jam 2.30 petang itu.


Rokiah A Rahman ditemui terbaring di lantai oleh anak perempuannya, Saripah Ibrahim, 52, sebaik wanita itu pulang dari tempat kerja. 

Cucu mangsa, Siti Norazura Zaini, 28, berkata, ketika ibu saudaranya itu cuba memeriksa neneknya yang terbaring itu, suspek yang bersembunyi di belakang almari dalam rumah itu meluru sebelum mencekik dan menghentak kepala Saripah. 

"Ketika pergelutan antara mereka, ibu saudara sempat menjerit meminta bantuan dan didengari adik saya yang berada di luar rumah sebelum berjaya menangkap suspek dengan bantuan orang kampung," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata siasatan awal terhadap mayat mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan namun polis percaya suspek menggunakan kuali berdasarkan penemuan barang itu berhampiran wanita berkenaan. 

"Kejadian dipercayai bermotifkan samun kerana barangan kemas mangsa ditemui berada bersama suspek wanita yang ditahan itu. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya. 

Mayat Rokiah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BHonline/ PressReader



    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments