Seorang lelaki tergamak menetak dan menikam bapa kandungnya sendiri sehingga mati dengan menggunakan parang selepas gagal mendapatkan wang untuk membeli dadah dalam kejadian di sebuah rumah di Batu 4 1/2, Jalan Padang Melangit, Padang Besar, Perlis.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, Suspek meminta wang daripada bapanya untuk membeli dadah.
Bagaimanapun mangsa Amran Ariffin, 53 tahun yang juga seorang kontraktor enggan memberi wang menyebabkan berlaku pertengkaran.
Suspek kemudian bertindak mengambil parang di dapur lalu melibas belakang mangsa menyebabkan tangan mangsa cedera. Sebaik terjatuh, suspek bertindak pula menikam perut mangsa beberapa kali.
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dalam keadaan perut terburai dan putus jari selain mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta belakang badan.
Suspek kemudian melarikan diri ke rumah neneknya berdekatan lokasi kejadian sebelum ditahan jam 8 pagi tadi. Terdapat kesan luka pada perut suspek dipercayai kerana menikam dirinya sendiri.
Suspek kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar dan akan direman bagi siasatan lanjut. Manakala mayat bapanya pula dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Perlis, Superintendan Azahar Muda berkata, suspek berusia 24 tahun yang merupakan seorang penganggur bertindak sedemikian kerana gagal mendapatkan sejumlah wang daripada bapanya untuk membeli dadah dipercayai jenis syabu. - Kosmo/nx.digital
No comments:
Write comments