SEORANG bekas komander tentera berusia 80 tahun menangis tidak berlagu apabila impiannya untuk mendirikan rumah tangga bersama kekasihnya yang merupakan wanita Indonesia berkecai apabila dia diperdaya hinggakan mengalami kerugian RM3,000.
Menurut mangsa Ishak Unchit, dia berkenalan dengan wanita bernama Suryani, 37, itu menerusi laman Facebook pada bulan lalu sebelum mengambil keputusan berjumpa keesokan harinya di Kelana Jaya, Selangor.
“Saya mula mengenali Suryani di Facebook pada 6 Februari lalu. Bila rasa serasi, kami buat keputusan untuk bertemu kali pertama pada 7 Februari di Kelana Jaya.
“Setelah bertemu, ternyata ada rasa cinta dan suka kepada Suryani. Sejak itulah, kami selalu mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan berjumpa beberapa kali,” katanya.
Memandangkan sudah timbul rasa sayang, Isyak yang hidup menduda sejak kematian isteri pada Disember tahun lalu mengambil keputusan untuk menikahi wanita itu.
Suryani yang bersetuju dengan lamaran itu bagaimanapun memaklumkan akan bernikah setelah selesai proses perceraiannya di Indonesia.
Memetik laporan Sinar Harian, semasa tempoh percintaan mereka, Ishak memberitahu Suryani sering kali menceritakan masalah peribadinya termasuk situasi suaminya yang kini meringkuk dalam penjara.
“Suryani pun ada menceritakan masalah peribadinya, perihal suaminya yang dikatakan sedang meringkuk di penjara di Medan Sumatera akibat penyalahgunaan dadah
“Bagaimanapun, kesahihan cerita itu, saya tidak pasti. Dan saya juga menolak permintaannya untuk memasukkan sejumlah RM1,500 ke akaun peribadinya, kerana mahu pulang ke Indonesia bagi uruskan soal perceraiannya,” katanya.
Pun begitu, Suryani sekali lagi merayu padanya 15 Februari lalu meminta wang untuk diberikan kepada agennya untuk membawanya pulang ke Indonesia.
“Atas rasa percaya dan cinta mendalam, saya menyerahkan wang tunai sebanyak RM2,700 di parkir sebuah pasar raya di Kelana Jaya, bersaksikan pemandu saya.
“Dan pada 23 Februari lalu, saya telah bertemu dengan Suryani sekali lagi di Kelana Jaya.
“Dia ada meminta wang berjumlah RM300 untuk wang perbelanjaan dan kerana kasihan, saya terus memberinya tanpa rasa sangsi,” katanya.
Bermula saat itu tembelang Suryani pecah apabila dia mula mula berdolak dalih dan mengelak untuk bertemu serta gagal dihubungi.
“Bagaimanapun, sebelum Suryani menyekat nombor telefon bimbit saya, dia ada menghantar mesej dengan memberitahu dia bukanlah wanita terbaik untuk saya.
“Saya terus memarahinya kerana saya telah sayangkan Suryani. Selepas kejadian itu dia gagal dihubungi, berkemungkinan telah pulang ke Indonesia,” katanya.
Akibat penipuan itu, Ishak kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Pilah, semalam. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments