Thursday 9 March 2017

Warga emas hilang secara misteri di Gunung Nuang


Kajang: “Dia ada memberitahu suami saya mahu bertemu rakan di kaki Gunung Nuang sehari sebelum dia hilang secara misteri,” kata Nurhaslinda Sapid, 30 , berhubung kehilangan bapanya, Sapid Awang, 84, sejak Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa disedari hilang oleh anggota keluarganya selepas keluar memasuki hutan Sungai Lepoh yang terletak berdekatan dengan rumahnya sejak awal pagi.

Menurutnya, mereka sekeluarga tidak mengenali rakan yang dimaksudkannya dan mangsa pernah bekerja di kawasan air terjun berkenaan.

“Kami sekeluarga mencari mangsa dan ada seorang saksi mendakwa ternampak mangsa menuju naik ke arah air terjun itu.

“Seingat saya dia pernah bekerja menjaga pam air di kawasan air terjun itu. Malah terdapat kubur bapa dan isteri pertamanya di situ,” katanya.

Nurhaslinda berkata ini adalah kejadian kali kedua mangsa menghilangkan diri dan sebelum ini mangsa ditemui di pekan berhampiran.

“Kali pertama dia menghilangkan diri selama dua hari dan ditemui di bandar oleh anggota polis yang sedang bertugas,” katanya.

Dia berkata, keadaan bapa mentuanya yang mempunyai lemah ingatan membuatkan mereka sekeluarga bimbang tentang keselamatannya. - Mymetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments